NARATHIWAT (THAILAND): Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kamonsak Leewamoh, 59, terselamat dalam cubaan bunuh di hadapan rumahnya di Mukim Bacho, Daerah Bacho, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang anggota polis yang juga sepupu Kamonsak, Sarjan Polis Harirak Heemmina, 43, dan pemandu, Uchalam Kohloh, 55, cedera parah terkena beberapa das tembakan.
Seorang ahli keluarga beliau yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku ketika Ahli Parlimen berkenaan yang lebih dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk tiga wilayah Selatan Thai, tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai dari Bangkok.
“Kira-kira pukul 1 pagi ketika Toyota Alphard dinaiki Wan Johan membelok masuk ke halaman rumahnya di Nombor 13/3 di Jalan Phetkasem, Mukim Bacho, beberapa das tembakan kedengaran.
“Tembakan mengenai cermin dan sisi kiri di bahagian penumpang hadapan kenderaan. Wan Johan ketika itu duduk di kerusi tengah penumpang dan terselamat dalam cubaan bunuh itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Difahamkan, ini adalah kali kedua cubaan membunuh Wan Johan yang juga seorang pengamal undang-undang dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand.
Dalam kalangan penduduk Selatan Thai, beliau juga terkenal dengan gelaran ‘peguam kumpulan pejuang pembebasan Patani’ kerana sering mewakili mereka dalam sebarang kes melibatkan undang-undang.
Wan Johan mempertahan kerusi Kawasan 5 Narathiwat pada Pilihan Raya Umum Thailand 2026 yang diadakan pada 8 Februari lalu. Pada pilihan raya itu beliau yang mewakili Parti Prachachat mengalahkan lima calon lain.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah pikap berwarna putih menunggu berhampiran pintu pagar rumah Ahli Parlimen tersebut.
Menurutnya, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman Ahli Parlimen itu, kumpulan terbabit melepaskan beberapa das tembakan dipercayai menggunakan raifal automatik ke arah kenderaan dinaiki Wan Johan.
“Suspek kemudian melarikan diri ke arah Pekan Bacho. Polis sedang mengumpul bukti, serta menemubual saksi dan semua yang terlibat termasuk Wan Johan untuk mengesan pelaku dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. – UTUSAN






