mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dijangka akan didakwa Isnin ini atas pertuduhan rasuah berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ahli parlimen itu akan didakwa atas pertuduhan rasuah.
“Beliau akan didakwa bersama seorang lagi individu,” katanya ringkas ketika dihubungi tadi.
Harian Metro semalam melaporkan seorang Ahli Parlimen ditahan SPRM Kedah petang kelmarin, bagi tujuan pertuduhan selepas mendapat izin pendakwaan bagi kes membabitkan usahasama ternakan lembu milik kerajaan negeri itu.
Menurut sumber, siasatan dijalankan sejak bulan Februari tahun ini membabitkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
“Kertas siasatan dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu dan siasatan dijalankan yang mana 15 orang saksi dirakam percakapan,” katanya.
Azman turut mengesahkan beliau ditahan SPRM berhubung kes projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan tindakan menukar statusnya daripada saksi kepada tertuduh.
Katanya, beliau sebelum ini hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek feedlot di bawah Kedah Agro namun menerima arahan mengejut untuk bertemu pegawai penyiasat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh arah utara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






