am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis mengesahkan kes samun berkawan bersenjatakan parang di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing di sini, pagi tadi, tiada kaitan dengan peranan mangsa sebagai saksi utama perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 7.20 pagi melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Beberapa orang penjenayah bersenjatakan parang dan memakai penutup muka memecah masuk rumah dan membawa lari barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi.
“Penjenayah turut melibas parang hingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa sebelum melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kes ini tidak ada kena mengena dengan peranan mangsa sebagai saksi utama dalam perbicaraan kes membabitkan Guan Eng.
“Tiada kena mengena,” katanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diserang sekumpulan 10 lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, hari ini.
Menurut laporan yang memetik sumber itu, mangsa mengalami kecederaan di muka dan tangan selepas penyerang masuk ke dalam kediamannya, menurut sumber yang rapat dengan perbicaraan itu.
Difahamkan, penyerang mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.
Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata angka kerugian dalam kejadian itu masih dalam siasatan memandangkan ada barangan berharga yang ditemui semula.
“Jumlah kerugian belum dapat dipastikan kerana ada barangan berharga yang dilarikan ditemui semula di laluan penjenayah melarikan diri,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan usaha memburu suspek sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-6303090 untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd