Ahli politik Britain tolak perbandingan antara rakyat Palestin dengan komuniti Cina di Malaysia

Ahli politik Britain tolak perbandingan antara rakyat Palestin dengan komuniti Cina di Malaysia

Ahli politik Britain tolak perbandingan antara rakyat Palestin dengan komuniti Cina di Malaysia


Kuala Lumpur: Rakyat Palestin antara golongan paling ganas ditindas di dunia dan keadaan di Malaysia sama sekali tidak menyamai realiti dihadapi oleh rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel, kata ahli politik veteran Britain George Galloway.

Menjawab soalan kontroversi daripada seorang wartawan portal berita tempatan semasa syarahan umum bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Januari, Galloway menolak perbandingan antara perjuangan Palestin dengan situasi komuniti Cina di Malaysia, sambil menyifatkan persamaan sedemikian sebagai tidak tepat dan keterlaluan.

“Saya belum pergi seluruh Kuala Lumpur hari ini, tetapi saya tidak nampak sebarang kereta kebal.

“Saya tidak nampak senjata. Saya tidak nampak trak tentera. Saya tidak nampak jalan khas untuk golongan tertentu.

“Saya tidak nampak apa-apa yang anda sebutkan. Mungkin saya terlepas sesuatu. Saya bukan pakar dalam isu yang anda bangkitkan,” katanya, seperti yang dilihat dalam klip video yang dimuat naik di Facebook.

Bekas Ahli Parlimen Parti Buruh Britain bagi Rochdale itu menjawab soalan yang mencadangkan persamaan antara isu Palestin dengan kedudukan komuniti Cina di Malaysia, serta dakwaan sebahagian penyokong pro-Palestin tempatan juga mempunyai pandangan anti-pendatang.

Soalan itu juga mencadangkan kedua-dua isu berpunca daripada legasi penjajahan British dan berkongsi unsur xenofobia serta nasionalisme eksklusif.

Galloway berkata beliau tidak melihat penindasan sistemik yang setara dengan apartheid di Malaysia, sambil menyatakan komuniti Cina kelihatan berkembang maju.

“Setakat yang saya lihat, masyarakat Cina hidup dengan baik di Malaysia disebabkan kerja keras dan kepakaran perniagaan mereka. Orang Cina berjaya di mana-mana sahaja, termasuk di China,” katanya.

Galloway, yang berkata beliau menghabiskan sebahagian besar masanya tinggal dan bekerja di China, menolak sebarang cadangan bahawa pandangannya didorong oleh nasionalisme atau xenofobia.

“Saya membenci nasionalisme. Saya adalah orang terakhir yang boleh dituduh sebagai sinofobia atau xenofobia. Tiada siapa yang boleh lebih pro-China daripada saya,” katanya.

Beliau berkata menyamakan Malaysia dengan sebuah masyarakat apartheid seperti Palestin adalah sesuatu yang dikesali dan ‘agak memalukan’.

Sementara itu, portal berita berkenaan telah mengeluarkan permohonan maaf dan memaklumkan tindakan tatatertib diambil terhadap wartawan terbabit susulan siasatan dalaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top