Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesyorkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor ditangguhkan susulan ketidaktentuan krisis geopolitik Asia Barat yang memberi tekanan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat ketika ini.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat MKT UMNO pada 17 April ini di Melaka bagi pertimbangan lanjut.
Menurutnya, keadaan semasa tidak sesuai untuk pelaksanaan pilihan raya kerana rakyat masih berdepan kesukaran, khususnya melibatkan peningkatan kos sara hidup dan ketidakstabilan harga barangan.
“Kalau ketidaktentuan politik yang berlaku di luar dan melihat kesusahan rakyat sekarang, mungkin tak adalah PRN minggu depan, itu pandangan logik politik.
“Tak perlu mesyuarat besar pun untuk menyatakan itu dari segi logik politik. Apabila geopolitik payah, masalah harga barang begitu begini, takkan kita nak buat pilihan raya ketika masalah ini berlaku,” katanya selepas lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan pilihan raya hanya wajar diadakan selepas keadaan kembali stabil.
“Jadi, saya ingin mengesyorkan apabila masalah selesai, baru kita boleh pilihan raya dengan tenang. Selagi keadaan tidak tenang, maka PRN Melaka dan Johor perlu difikirkan satu tarikh yang paling strategik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian akan mencadangkan supaya PRN Melaka dan Johor diadakan secara serentak bagi menjimatkan kos.
PRN Johor berlangsung pada Mac 2022 dan mandat kerajaan negeri itu dijangka tamat pada Mac 2027 manakala PRN Melaka dibuat pada November 2021 dan tamat mandatnya akhir tahun ini.
KREDIT GAMBAR UTAMA: BERNAMA






