AI bukan sumber berita boleh dipercayai

AI bukan sumber berita boleh dipercayai


BRUSSELS: Pembantu kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT dilaporkan membuat kesilapan hampir separuh daripada masa apabila ditanya mengenai peristiwa semasa, menurut satu kajian besar-besaran oleh Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) yang dikeluarkan semalam.

Kajian itu mendapati kesilapan yang dilakukan termasuk mencampur aduk berita sebenar dengan parodi, memberikan tarikh yang salah dan ada kalanya mencipta peristiwa yang tidak pernah berlaku.

Laporan berkenaan menilai empat pembantu AI yang paling banyak digunakan, iaitu ChatGPT keluaran OpenAI, Copilot (Microsoft), Gemini (Google) dan Perplexity.

Secara keseluruhan, sebanyak 45 peratus daripada jawapan AI mempunyai sekurang-kurangnya satu kesalahan ketara, tanpa mengira bahasa atau negara asal soalan tersebut, menurut laporan itu.

Satu daripada lima jawapan dikenal pasti mengandungi kesalahan besar termasuk maklumat palsu dan butiran yang direka-reka.

Menurut laporan itu lagi, Gemini menunjukkan prestasi paling lemah dengan 76 peratus jawapan bermasalah, iaitu lebih dua kali ganda berbanding pembantu AI lain disebabkan kelemahan dalam kaedah rujukannya.

Kajian berkenaan dijalankan antara akhir Mei hingga awal Jun melibatkan 22 stesen penyiaran awam dari 18 negara, kebanyakannya di Eropah yang mengemukakan soalan berita sama kepada keempat-empat pembantu AI tersebut.

Antara isu paling lazim ialah maklumat lapuk dalam lebih 3,000 respons yang dianalisis.

“Sebagai contoh, apabila ditanya siapakah Paus sekarang?”, ChatGPT kepada penyiar Finland Yle, serta Copilot dan Gemini kepada media Belanda NOS dan NPO  menjawab Paus Francis, walaupun ketika itu beliau sudah meninggal dunia dan digantikan oleh Paus Leo XIV.

“Dalam satu lagi kes, apabila stesen Radio France bertanya mengenai salutasi Nazi oleh Elon Musk semasa majlis perasmian Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari lalu, Gemini menjawab, jutawan itu mengangkat tangan kanannya kerana teruja, setelah tersalah tafsir satu ruangan satira yang ditulis oleh pelawak tempatan.

“Ia menjelaskan pembantu AI masih belum boleh dijadikan sumber yang boleh dipercayai untuk mendapatkan dan memahami berita,” kata Timbalan Ketua Pengarah EBU, Jean Philip De Tender bersama Ketua Bahagian AI BBC, Pete Archer

Walaupun mempunyai kelemahan besar, penggunaan pembantu AI untuk mendapatkan maklumat semakin meningkat, terutama dalam kalangan golongan muda.

Menurut laporan global oleh Institut Reuters yang diterbitkan pada Jun lalu, 15 peratus individu berusia bawah 25 tahun menggunakan pembantu AI setiap minggu untuk mendapatkan ringkasan berita.-AFP





Source link

OR

Scroll to Top