Kuala Lumpur: Malaysia kini melangkah ke hadapan dalam pendidikan tinggi dengan memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kursus sains sosial. Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, tetapi juga untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat terhadap kemahiran analitik dan etika teknologi.
Menurut data Kementerian Pendidikan Tinggi, lebih daripada 120,000 pelajar di institusi pengajian awam dan swasta kini mengikuti program sains sosial, dan dijangka akan ada lebih ramai pelajar beralih kepada bidang AI untuk meningkatkan daya saing mereka dalam sektor awam dan swasta.
Dorongan Kerajaan Malaysia dalam Pembelajaran Digital
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM1.9 bilion untuk pembangunan kemahiran digital di institusi pendidikan tinggi. Ini mencerminkan komitmen negara untuk mengintegrasikan AI dalam pelbagai disiplin, termasuk sains sosial. Inisiatif ini turut disokong oleh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang mensasarkan penjanaan bakat digital untuk menghadapi cabaran ekonomi masa depan.
Selain itu, Rancangan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga merancang untuk memperkenalkan modul AI yang berfokuskan etika dan keadilan sosial menjelang 2025, bagi memastikan graduan sains sosial dapat menangani cabaran teknologi masa kini, termasuk isu privasi dan keadilan, selaras dengan SDG 16 iaitu Keamanan, Keadilan, dan Institusi yang Kuat.
Manfaat AI dalam Bidang Sains Sosial
Kajian terbaru menunjukkan bahawa 82% majikan kini mengutamakan graduan dengan kemahiran teknologi seperti AI, terutamanya dalam analisis tingkah laku pengguna dan sokongan strategi perniagaan. Tambahan pula, menurut data Kementerian Sumber Manusia, kadar pengangguran di kalangan graduan sains sosial adalah 8%, menekankan keperluan untuk kemahiran yang relevan dalam dunia kerja.
Kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati bahawa 74% pengguna berpendapat bahawa aplikasi AI dalam bidang sains sosial mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar awam. Dengan menggunakan AI, pengumpulan dan analisis data mengenai isu-isu seperti kemiskinan, kesihatan mental, dan akses pendidikan menjadi lebih berkesan, yang secara tidak langsung menyumbang kepada SDG 10, iaitu Mengurangkan jurang Ketidaksamaan.
Pembelajaran dari Negara Lain dan Potensi untuk Kemajuan
Negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Singapura, dan China telah lama menggabungkan AI dalam program sains sosial mereka. AS dan UK memberi tumpuan kepada analisis sosial dan etika AI, manakala Singapura melalui inisiatif Smart Nation memanfaatkan AI untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti. China pula menumpukan kepada pembangunan AI berskala besar untuk analisis sosial dan ekonomi.
Malaysia kini mengambil pengajaran dari pengalaman negara-negara ini dengan pendekatan yang beretika dan mampan. Kerjasama dengan universiti luar negara dalam membangunkan kurikulum AI sedang dipertimbangkan untuk memastikan bahawa pendidikan di Malaysia setanding dengan standard global.
Dengan sokongan kewangan yang mantap dan dasar yang strategik, pendidikan AI dalam sains sosial di Malaysia berada di landasan yang tepat untuk memastikan bahawa pendidikan tidak hanya berkualiti, tetapi juga relevan dengan keperluan industri dan masyarakat. Dengan pendekatan yang beretika dan mampan, pendidikan berasaskan AI dalam sains sosial berpotensi untuk memberi impak yang mendalam, tidak hanya kepada graduan tetapi juga kepada seluruh negara, menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Maklumat penulis:
Nurul Nadiah Ahmad
Pensyarah Kanan,
Universiti Tenaga Nasional, Sultan Haji Ahmad Shah Campus, Pahang.