harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara komponen utama bagi pihak berkuasa mengekang jenayah di sempadan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, komponen teras dalam pelaksanaan Ops Bersepadu Khazanah (OBK) itu dipasang pada mesin pengimbas di pintu masuk utama negara bagi memperkukuh saringan dan pengesanan penyeludupan hidupan liar.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam mempertahankan warisan alam dan memastikan kelestarian khazanah negara untuk generasi masa depan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat OBK Siri 18 Bil 2/2025 di Sematan, Sarawak yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya.
Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, mesyuarat itu bagi memperkukuh lagi kerjasama strategik antara JKDM dan agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan Ops OBK yang berperanan khusus bagi memelihara biodiversiti serta melindungi khazanah alam.
Katanya, mesyuarat berkenaan juga platform penting bagi JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PERHILITAN berkongsi kepakaran, strategi operasi dan adaptasi teknologi, selain mempertingkat keberkesanan operasi dan penguatkuasaan pegawai serta anggota di barisan hadapan.
“JKDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PDRM dan PERHILITAN, serta semua agensi penguatkuasaan dan rakan strategik.
“Kerjasama padu terus dizahirkan dalam memperkasa usaha pemeliharaan warisan alam, kelestarian biodiversiti dan kedaulatan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd