Aiman Ridhwan johan qari negeri Perak

Aiman Ridhwan johan qari negeri Perak



am@hmetro.com.my

Ipoh: Aiman Ridhwan Mohammad Ramlan dinobat johan qari bagi Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak 1446H/2025M, di sini, malam tadi.

Pemuda itu mengulangi pencapaian serupa pada 2022 apabila diumumkan qari peringkat negeri dan turut memenangi johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M.

Pada Oktober tahun sama, beliau juga memenangi naib johan dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri majlis seterusnya menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000, berserta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000, selain hadiah iringan kepada Aiman Ridhwan.

Hadiah serupa turut disampaikan kepada Norhazira Nabila Mohamed Kamel yang merangkul gelaran johan qariah.

Tempat kedua qari disandang Muhammad Sahran Termizi yang juga seorang anggota polis dan qariah pula oleh Puteri Kalimatul Azzua Hamid, manakala tempat ketiga qari dimenangi Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid dan qariah Nur Syahira Saiful Adli.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, berserta hadiah iringan.

Semua pemenang qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 hingga RM10,000, berserta hadiah iringan plak dan sijil.

Johan hafazan bagi kategori 1-30 juzuk dimenangi Mohd Adib Ahmad Rozaini dan Siti Sarah Muhammad Hanif yang turut menerima hadiah pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000.

Qari dan qariah akan mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446H/2025M yang akan berlangsung di Perlis pada 27 April hingga 2 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top