Aina Abdul tenang, enggan beri tekanan menjelang AJL40

Aina Abdul tenang, enggan beri tekanan menjelang AJL40

Aina Abdul tenang, enggan beri tekanan menjelang AJL40


puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Aina Abdul, mendedahkan persiapannya menjelang Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) kali ini agak berbeza apabila memilih untuk lebih tenang dan tidak meletakkan tekanan tinggi terhadap dirinya mahupun pasukannya.

Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, peratusan persiapan untuk AJL40 masih berada di peringkat awal.

“Persiapan saya rasa tak banyak lagi sebenarnya sebab kami baru saja bermesyuarat. Apa yang pasti, untuk AJL kali ini, saya mahu tampil berbeza daripada stigma (pemerhatian peminat sebelum ini). Tapi nantikanlah, insya-Allah,” katanya.

Aina berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharu Sadis dan Berjauh-an, hari ini.

Menyentuh mengenai sasaran atau peratusan kemenangan, pelantun lagu Semalam ini secara jujur mengakui sebelum ini sentiasa mendambakan kemenangan setiap kali bertanding.

“Jujur cakap, sebelum ini mungkin setiap kali saya masuk bertanding, memang sentiasa ada sasaran untuk menang. Kita manusia kan, sudah tentu mahukan kemenangan.

“Tapi kali ini, saya harap saya tidak menipu diri sendiri. Di saat dan ketika ini, saya memang masuk bukan untuk bertanding. Sebab itu saya rasa lebih rileks dan tenang,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kemungkinan akan menjadi bahan sorakan para ‘haters’ sekiranya pulang dengan tangan kosong, Aina menegaskan dia langsung tidak mengambil peduli mengenai perkara itu.

“Terpulang, saya tak kisah. Sebab bagi saya, saya menang pun mereka akan kecam, kalau saya tak menang lagilah mereka akan kecam. Jadi, kalau tak menang pun saya tak kisah.

“Yang penting lagu saya berjaya masuk AJL40 dan saya dapat menyanyi. Saya hanya mahu cuba berikan yang terbaik pada malam itu nanti,” kongsinya.

Sebagai persediaan, Aina kini sedang giat mempersiapkan vokalnya itu agar berada pada tahap optimum tanpa membebankan kotak suaranya.

“Saya sebenarnya sedang mempersiapkan vokal juga supaya saya tidak terlebih guna suara saya. Saya nak cuba yang terbaik.

“Jadi sekarang adalah masanya untuk melakukan persiapan itu bagi memastikan persembahan berjalan dengan lebih lancar,” kongsinya lagi.

Terdahulu, meskipun Aina telah bertanding dalam AJL selama tujuh tahun, Aina sekali lagi disenarikan dalam AJL40 dengan karyanya yang berjudul Kamu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top