Air mata Dembele iringi kejayaan rangkul Ballon d’Or 2025

Air mata Dembele iringi kejayaan rangkul Ballon d’Or 2025


Reaksi Dembele selepas dinobatkan pemenangan Ballon d’Or. FOTO: AFP

PENYERANG Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2025 pada malam penuh gemilang di Paris, awal pagi Selasa.

Bintang berusia 28 tahun itu menewaskan calon utama lain termasuk pemain muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal sekali gus melengkapkan tahun penuh gemilang bersama PSG yang menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab Mei lalu.

Sepanjang musim 2024-25, Dembele mencatat 51 penglibatan gol dalam 59 perlawanan dan turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Ligue 1, Kasut Emas Ligue 1 serta Pemain Terbaik Liga Juara-Juara.

Kejayaan PSG merangkul gelaran Ligue 1, Coupe de France dan Piala Super Perancis hasil sentuhan cemerlang Dembele mengukuhkan lagi statusnya sebagai tonggak utama kelab.

Lebih manis, kejayaan itu menjadi kebangkitan semula buat Dembele yang pernah bergelut dengan pelbagai cabaran ketika bersama Barcelona sebelum ini.

Dalam ucapan penuh emosi, Dembele menitis air mata ketika mengucapkan penghargaan kepada keluarganya, khususnya ibunya.

“Saya agak gementar menerima anugerah ini daripada legenda bola sepak seperti Ronaldinho. Ia satu penghormatan besar.

“Anugerah ini juga adalah hasil kerja berpasukan. Terima kasih kepada rakan sepasukan, kepada Barcelona yang pernah menjadi kelab impian saya dan kepada Lionel Messi yang banyak mengajar saya.

“Terima kasih juga kepada jurulatih Didier Deschamps, bandar kelahiran saya Eure, serta keluarga saya yang sentiasa ada di sisi,” katanya.

Sementara itu, Yamal yang berusia 18 tahun turut menjadi pesaing utama selepas meledak 46 gol dalam 61 penampilan bersama Barcelona sehingga dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik La Liga selain membantu kelab Catalan itu menjuarai liga domestik.

Senarai akhir turut menyaksikan rakan sepasukan Dembele di PSG, Vitinha, menduduki tangga ketiga. Pemain Liverpool, Mohamed Salah pula berada di tempat keempat manakala bintang Chelsea, Cole Palmer, mengejutkan ramai apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik di kedudukan kelapan.

Ringkasan AI

  • Ousmane Dembele dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2025
  • Bintang PSG itu menewaskan calon lain termasuk Lamine Yamal Barcelona dan menjuarai Liga Juara-Juara bersama PSG
  • Dembele mencatat 51 penglibatan gol dalam 59 perlawanan sepanjang musim 2024-25
  • Kejayaan PSG merangkul gelaran Ligue 1, Coupe de France dan Piala Super Perancis disumbangkan oleh kecemerlangan Dembele
  • Dembele mengucapkan penghargaan kepada keluarganya, terutamanya ibunya, dalam ucapan penuh emosi



Source link

OR

Scroll to Top