Pemain Portugal meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Negara-Negara. Foto AFP
KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo, menitiskan air mata kegembiraan selepas berjaya memenangi Liga Negara-Negara Eropah buat kali kedua pada Isnin, sambil menegaskan bahawa memenangi trofi bersama negaranya lebih bermakna berbanding sebarang penghormatan di peringkat kelab.
Gol ke-138 Ronaldo di peringkat antarabangsa pada separuh masa kedua membawa perlawanan akhir menentang Sepanyol ke penentuan sepakan penalti selepas keputusan terikat 2-2.
Namun, penyerang berusia 40 tahun itu hanya mampu melihat dari tepi padang ketika Portugal menyempurnakan kelima-lima sepakan penalti untuk merangkul kejuaraan tersebut selepas digantikan akibat kecederaan.
Kejayaan itu yang menyebabkan pemenang lima kali Liga Juara-Juara Eropah itu menitiskan air mata, merupakan trofi ketiga Ronaldo di peringkat antarabangsa selepas kejayaan menjulang Kejohanan Eropah 2016 dan Liga Negara-Negara Eropah 2019.
“Sungguh menggembirakan,” kata Ronaldo kepada Sport TV.
“Pertama sekali untuk generasi ini, yang layak menerima kejuaraan sebesar ini, dan untuk keluarga kami. Anak-anak saya datang ke sini, isteri saya, abang saya, rakan-rakan saya.
“Memenangi sesuatu untuk Portugal sentiasa istimewa. Saya mempunyai banyak kejuaraan bersama kelab, tetapi tiada yang lebih baik daripada menang untuk Portugal. Ini air mata. Ini satu tanggungjawab yang telah ditunaikan, dan penuh kegembiraan.
“Bila bercakap tentang Portugal, ia sentiasa satu perasaan yang luar biasa. Menjadi kapten kepada generasi ini adalah satu kebanggaan. Memenangi trofi bersama pasukan kebangsaan adalah kemuncak segalanya,” katanya.