Air tangan Wan Ja dapat sambutan

Air tangan Wan Ja dapat sambutan



am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Tempahan tidak menang tangan mendorong seseorang tukang sarung dan hulu senjata tajam mengambil langkah tidak berehat lama selepas sebelah kaki kanannya dipotong akibat penyakit kencing manis.

Wan Omar Wan Mansor, 53, dari Kampung Bukit Diman dekat sini, berkata, walaupun berdepan masalah kesihatan namun dia tidak boleh berpeluk tubuh dan kembali ke bengkel untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Menurutnya, akibat penyakit yang dialami sebelah kakinya terpaksa dipotong dan dia mengambil masa lebih setahun untuk pulih dan kembali melakukan kerja hakikinya sebagai pembuat sarung dan hulu senjata.

Katanya, kerja berkenaan merupakan mata pencariannya sejak 17 tahun lalu dan permintaan terhadap sarung serta hulu senjata amat tinggi.

“Pelanggan datang dari seluruh negara dan ketika berhenti seketika kira-kira lebih setahun lalu ramai pelanggan yang menghubungi saya untuk menempah sarung dan hulu senjata.

“Namun, kekangan kesihatan termasuk baru selesai menjalani pembedahan mendorong saya menolak buat seketika tempahan dan sejak beberapa bulan lalu saya kembali memegang alatan untuk menyiapkan tempahan.

“Alhamdulillah, walaupun diuji dengan masalah kesihatan hingga memaksa sebelah kaki dipotong namun saya masih mampu berusaha untuk mencari rezeki bagi membesarkan dua anak,” katanya yang lebih terkenal dengan panggilan Wan Ja, dalam kalangan peminat sarung dan hulu senjata tanah air.

Menurutnya, selepas kematian isteri Jamilah Muda kira-kira tiga tahun lalu, dia terpaksa mengalas tugas sebagai ibu dan bapa kepada dua cahaya matanya yang berusia 16 dan 18 tahun.

Katanya, dia pernah beberapa kali terjatuh di dalam bengkelnya akibat belum serasi dengan penggunaan kaki palsu selain perlu lebih berhati-hati ketika bergerak ketika melakukan kerjanya itu.

Wan Ja berkata, hasil kerjanya dijual serendah RM50 sehingga RM7,000 bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Biasanya bagi sarung dan hulu yang harganya tinggi itu diperbuat daripada kayu kemuning emas, gading dan tanduk disertakan dengan ukiran halus pada hasil seni itu.

“Sebelum kaki dipotong saya mampu menghasilkan sarung dan hulu sebanyak 60 unit sebulan namun kini hanya 30 unit saja berikutan kekangan dari segi pergerakan,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan 20 jenis kayu dalam penghasilan sarung dan hulu senjata antaranya kayu kemuning, arang bunga atau buey, ciku, sena, sepetir dan macang hutan.

Katanya, kayu yang paling masyhur iaitu kayu kemuning dan arang bunga di sebabkan urat kayu lebih menyerlah dan bekalan kayu pula diperoleh dari Gua Musang, Kelantan; Muadzam Shah, Pahang; Perak dan sekitar Terengganu.

Tambahnya, dia bersyukur kerana air tangannya masih menjadi pilihan pelanggan walaupun sudah lebih setahun dia meninggalkan kerja membuat sarung dan hulu akibat masalah kesihatan.

Menurut Wan Ja berkata, seorang rakannya yang menjalankan perniagaan menjual senjata tajam turut berhenti seketika menjual alatan itu kerana tidak mempunyai tukang sarung dan hulu bersesuaian.

“Selain hasil menjual sarung dan hulu senjata saya juga kini menerima bantuan bulanan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya amat bersyukur kerana permintaan terhadap sarung dan hulu senjata hasil air tangan saya masih mendapat tempat dalam kalangan peminatnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top