Kontroversi rumah tangga pempengaruh popular Aireena Sofia dan suaminya yang juga ikon permotoran, Haqiem Stopa, terus menjadi perhatian selepas Aireena membuat pendedahan mengejutkan mengenai dakwaan kecurangan.
Dalam satu hantaran di Threads, Aireena, 21, mendakwa dia ditinggalkan sendirian sejak 19 September lalu, ketika masih melalui tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka.
“Saya dah tak tahan, dari pantang sampai sekarang saya simpan. Satu persatu Allah tunjuk. Saya kena tinggal dalam pantang 19 September sampai sekarang,” tulisnya.
Aireena turut mendakwa suaminya kembali berlaku curang dengan seorang gadis berumur 18 tahun, sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan rumah tangga mereka.
“Dan hari ini (Sabtu 15 November) sekali lagi dia curangi saya. Untuk pengetahuan korang, gadis itu berumur 18 tahun,” tulisnya.

Susulan pendedahan itu, ramai netizen meluahkan rasa simpati terhadap Aireena yang baru tiga bulan melahirkan anak lelaki mereka, Hud.
Dalam masa sama, isu tersebut terus hangat apabila Aireena mendakwa kecurangan yang berlaku bukanlah sekali, tetapi berulang kali, seperti yang dikongsikannya ketika siaran langsung di TikTok.
Di tengah-tengah spekulasi, Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 25, tampil memberikan reaksi ringkas melalui Instagram Story. Namun, dia memilih untuk tidak mengulas lanjut buat masa ini.
“Assalamualaikum semua netizen dan Malaysian artikel. Saya tiada apa-apa statement. Saya tiada apa-apa alasan. Saya tiada apa-apa yang nak disampaikan,” tulisnya.

Haqiem menambah bahawa kenyataan rasmi akan diberikan pada waktu yang lebih sesuai.
“Kenyataan akan diberi 100 peratus pada masa yang sesuai dalam masa terdekat.”
Dalam perkongsian sama, Haqiem menegaskan dia tidak mahu membincangkan isu rumah tangga secara terbuka di media sosial.
“Saya tak nak bercerita apa-apa isu rumah tangga di platform social media. Terima kasih dan maaf pada semua yang bertanya,” tulisnya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 11 Oktober tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Hud, kini berusia tiga bulan. Sebelum ini, sudah timbul desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga mereka, namun kedua-duanya memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan.






