Penyanyi berbakat, Aisha Retno kesal apabila lagu raya miliknya berjudul, Jodoh Lebaran yang dihasilkan menerima komen negatif dalam kalangan netizen Indonesia.
Menurut pemilik nama lengkap, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, dia sangat berbangga mempunyai darah kacukan Jawa Indonesia, namun kesal apabila karyanya itu dianggap tidak berkualiti.
“Jujur saya sedih melihat ini. Saya bangga mempunyai darah Malaysia dan Indonesia, mama orang Jawa, papa orang Kelantan.
“Mari kita sebarkan perkara positif, okay. Semoga Allah melindungimu,” katanya di ruangan komen seorang pengguna Threads.

Meskipun karya tersebut mencatat jumlah penstriman tinggi di seluruh Asia Tenggara termasuk negara berkenaan, Aisha bagaimanapun tampil memebrian respons selepas menyedari seorang individu dari Indonesia mempertikaikan kualiti lagu tersebut.
Difahamkan, individu terbabit memuat naik kenyataan itu susulan penggunaan beberapa kosa kata yang sinonim di negara mereka.
“Kosa kata ‘Lebaran’, lagu raya, baju raya, semua itu cuma untuk promosi saja. Kelakar! Lagu seperti ini mahu saingi lagu-lagu Indonesia, sampai overclaim trending di Indonesia. Lagu tak berkualiti,” dakwanya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut dipercayai telah dipadam selepas menerima kecaman hebat daripada warganet yang rata-ratanya tampil mempertahankan Aisha.
Untuk rekod, Jodoh Lebaran merupakan antara lagu raya 2026 yang mencatat jumlah penstriman tertinggi di pelbagai platform digital sejak dilancarkan pada 6 Mac lalu.






