am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Aisha Retno, 25, mengakui bukan mudah untuk bangkit selepas melalui episod hitam apabila konsert impiannya dibatalkan tahun lalu.
Katanya, insiden itu meninggalkan kesan mendalam sehingga dia mengambil masa berbulan-bulan untuk memulihkan diri dan memikirkan sama ada dirinya masih mampu kembali ke pentas.
“Jujurnya, saya jadi takut bila bercakap soal konsert. Bila ada sesiapa tanya, terus teringat semula peristiwa itu. Ia bukan sekadar kecewa, tapi saya betul-betul trauma,” katanya.
Bagaimanapun, keyakinan daripada pihak LOL Asia serta pasukan pengurusannya perlahan-lahan membuka semula ruang buatnya untuk kembali percaya kepada diri sendiri.
“Bila mereka datang dengan tawaran untuk buat showcase, saya ambil masa lama sebelum setuju,” katanya.
“Saya fikir betul-betul sama ada emosi dan mental saya okay ke. Tapi akhirnya saya yakin ini masa yang sesuai,” katanya.
Showcase The AISHA Experience bakal berlangsung pada 20 September ini di JioSpace, Petaling Jaya dan menjadi simbol fasa baharu buat Aisha selepas hampir setahun menyepi daripada sebarang persembahan besar.
Mengulas persiapan, Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, dia memilih untuk mengadakan acara yang bersifat lebih peribadi dan tidak terlalu berskala besar demi menjaga kestabilan diri.
“Saya tak nak buat yang terlalu mega. Cukuplah yang sederhana, tapi bermakna. Ini lebih kepada ruang untuk saya berkongsi perjalanan dan fasa penyembuhan dengan semua,” katanya.
Aisha turut berkongsi, sokongan keluarga, rakan dan peminat memberi kekuatan besar untuk terus melangkah, walaupun pernah rasa mahu mengundur diri.
“Ramai sebenarnya yang masih percaya pada saya. Mesej daripada peminat, dorongan mama dan kawan-kawan buat saya sedar, saya tak keseorangan. Itu yang buat saya nekad untuk teruskan juga,” katanya pada sidang media pelancaran album Rehab dan pengumuman showcase The AISHA Experience, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd