am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Sebanyak 14 ajaran yang telah difatwa sebagai sesat dikesan masih aktif di negara ini, namun kesemuanya berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan serta negeri bagi memastikan tindakan diambil mengikut lunas undang-undang.
“Kita mahu pastikan apa-apa tindakan yang diambil adalah bertepatan dengan hukum dan undang-undang, adil serta selari dengan peruntukan sedia ada. Dalam masa sama, kita juga perlu memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Bantuan Pasca Banjir Misi Ihsan Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, di sini, hari ini.
Menurut Zulkifli, ajaran sesat jelas bertentangan dengan al-Quran dan sunnah, justeru Jabatan Hal Ehwal Agama berperanan memastikan ajaran Islam yang disampaikan kepada masyarakat adalah sahih serta membawa nilai kesederhanaan, keamanan dan keharmonian.
Mengulas kebimbangan kewujudan ajaran sesat yang berterusan, beliau berkata sejarah membuktikan fahaman itu tidak pernah ‘tidur’ dan sentiasa berusaha mempengaruhi serta mencemari pemikiran masyarakat.
“Peranan kerajaan sahaja tidak mencukupi. Masyarakat sivil, NGO Islam dan institusi berkaitan perlu berganding bahu dan bersinergi bagi menangani isu ini supaya Malaysia terus menjadi model negara Islam yang sederhana, berkemajuan dan damai,” katanya.
Beliau berkata, kemunculan media sosial turut menjadi cabaran baharu, namun pihaknya secara berterusan melaksanakan program pencerahan termasuk melalui peranan jabatan mufti bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ciri-ciri ajaran sesat.
“Apa yang penting bukan sekadar menangani ajaran sesat, tetapi bagaimana kita membawakan ajaran Islam yang sebenar supaya fahaman songsang ini dapat dikuburkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengenalpasti 14 ajaran yang difatwa sesat yang masih aktif dengan lapan daripadanya berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat dikesan sejak 1950 hingga kini.
Ajaran sesat merupakan antara ancaman kepada keselamatan negara, selain isu rasuah membabitkan penjawat awam.
Antara ajaran yang masih aktif termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.
© New Straits Times Press (M) Bhd






