AJINOMOTO (Malaysia) Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan sukan tanah air apabila tampil memperkasakan persiapan lapan atlet negara bagi menghadapi Sukan SEA ke-33 di Thailand bulan ini.
Sokongan tersebut dizahirkan menerusi program pemakanan sukan, Winning Meals Kachimeshi yang bermula dari Oktober hingga Disember 2025 bertujuan menyediakan atlet dengan aspek nutrisi terbaik menjelang temasya dwitahunan itu.
Lapan atlet terpilih menyertai program itu terdiri daripada gandingan beregu campuran badminton negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta ratu pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli.
Turut tersenarai ialah atlet olahraga iaitu Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m), Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera), Jonah Chang Anak Rigan (lontar peluru), Ng Jing Xuan (rejam lembing) dan Sanjay Manimaran (10km).
Timbalan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Makanan dan Pemasaran, Lee Son Howe berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu atlet menerusi nutrisi pemakanan sukan sekali gus turut menyumbang kepada industri sukan negara.
“Kumpulan Ajinomoto telah menaja Sukan SEA sejak tahun 2017 dan bagi setiap edisi, kami sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama atlet.
“Bezanya kali ini, kami mengembangkan skop tajaan yang sebelum ini tertumpu kepada atlet olahraga, kini diperluaskan kepada sukan badminton.
“Kami berharap menerusi program ini, Ajinomoto dapat menyumbang kepada industri sukan Malaysia melalui penyediaan nutrisi sukan Kachimeshi Winning Meal dan suplemen sukan, aminoVITAL,” katanya selepas sesi libat urus bersama atlet baru-baru ini.
Sebagai rekod, Ajinomoto Co Inc yang telah menerajui kesejahteraan di Asia Tenggara selama lebih lima dekad, merupakan Penaja Emas bagi Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 di Thailand.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan atlet, Son Howe menyifatkan kesemua lapan atlet terbabit memiliki keunikan dan potensi besar berdasarkan prestasi cemerlang mereka di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Melihat kepada potensi ini, kami berhasrat untuk menambah bilangan atlet pada masa akan datang agar lebih ramai mendapat manfaat daripada sokongan nutrisi ini,” ujarnya.
Sepanjang program berlangsung, atlet akan menerima pelan pemakanan peribadi yang seimbang dan bernutrisi, direka khas oleh pakar pemakanan sukan profesional bagi menyokong keperluan latihan intensif.
Pelan tersebut turut merangkumi aminoVITAL, formulasi yang diperkaya dengan Asid Amino Rantaian Bercabang (BCAA) yang berfungsi meningkatkan daya tahan otot, mengurangkan keletihan serta mempercepatkan proses pemulihan.
Sementara itu, Ee Wei menzahirkan penghargaan kepada Ajinomoto Malaysia atas kesudian bekerjasama dengan atlet dalam menyediakan pelan pemakanan yang komprehensif.
Jelasnya, inisiatif tersebut amat penting dan sangat membantu dalam persiapan fizikal mereka menjelang temasya sukan berprestij itu.
“Kami sangat menghargai dan berterima kasih kepada Ajinomoto atas kolaborasi ini.
“Memandangkan ini adalah sesuatu yang berkait rapat dengan nutrisi, ia benar-benar membantu atlet untuk beraksi dengan lebih baik di gelanggang,” katanya.
Ringkasan AI
- Ajinomoto (Malaysia) Berhad memperkuat komitmen dalam pembangunan sukan tanah air dengan menyokong persiapan lapan atlet negara untuk Sukan SEA ke-33 di Thailand
- Program pemakanan sukan, Winning Meals Kachimeshi, dijalankan dari Oktober hingga Disember 2025 untuk menyediakan nutrisi terbaik kepada atlet tersebut
- Lapan atlet terpilih terdiri daripada pemain badminton beregu campuran, ratu pecut, dan atlet olahraga seperti lempar cakera, lontar peluru, rejam lembing, dan 10km
- Inisiatif ini adalah usaha Ajinomoto dalam menyumbang kepada industri sukan negara melalui penyediaan nutrisi dan suplemen sukan
- Atlet akan menerima pelan pemakanan peribadi yang seimbang dan bernutrisi, termasuk aminoVITAL yang meningkatkan daya tahan otot dan mempercepat pemulihan






