July 27, 2024

Akademi Al Bayan pusat tahfiz mualaf terbesar di Asia Tenggara – KM


ALOR GAJAH – Melaka khususnya Masjid Tanah bakal mempunyai pusat pengajian al-Quran antarabangsa bagi saudara baharu terbesar di Asia Tenggara yang dijangka siap Disember tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, apabila siap kelak, pusat tahfiz dikenali Akademi Al Bayan bernilai RM25 juta itu akan menjadi tumpuan pelajar Islam terutama dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

“Pastinya kerajaan negeri menyokong penuh usaha ini untuk meningkatkan ajaran Islam di Melaka malah Akademi Al Bayan yang terbesar di Asia Tenggara ini akan menjadi rujukan kepada pusat-pusat tahfiz di seluruh rantau ini.

“Saya mengalu-alukan kepada semua rakyat Melaka sekiranya hendak menyumbang, bolehlah berbuat demikian yang mana setakat ini ia telah berjaya mengutip sumbangan lebih daripada RM11 juta daripada jangkaan kos keseluruhan RM25 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan kepada asnaf dan mualaf di Program Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Masyarakat Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut berterima kasih kepada akademi itu kerana telah menyumbang sebanyak RM46,000 untuk meraikan penerima-penerima asnaf dalam Parlimen Masjid Tanah.

Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, pertubuhan itu telah mengagihkan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi membantu golongan itu menjalani ibadah Ramadan tahun ini.

“Ini adalah hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan kepada 500 penerima di seluruh negara melalui pemberian wang tunai, kit makanan, majlis berbuka puasa dan pakaian.

“Sebenarnya, bantuan ini diberikan di seluruh negara kerana jumlah asnaf yang berdaftar dengan kita juga telah meningkat tiga kali ganda iaitu 2,000 orang berbanding hanya 500 asnaf tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, Pertubuhan Akademi Al Bayan komited untuk untuk melahirkan para daie mualaf yang akan menyebarkan dakwah ke seluruh dunia menggunakan kepelbagaian bahasa serta dialek bangsa masing-masing. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top