Pasir Gudang: SMK Taman Desa yang juga Akademi Johor Darul Takzim (JDT) Bawah 17 (B-17) tahun mempertahankan gelaran juara Liga Piala Remaja KPM-FAM B17 kali kedua berturut-turut selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Mutiara Impian di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Sabtu lalu.
Bermain di laman sendiri nyata tidak mahu disia-siakan oleh anak didik Pau Valldecabres Gimeno yang beraksi cemerlang sepanjang aksi.
“Kami (Akademi JDT) sentiasa mahu meningkatkan mutu permainan setiap masa. Kami berpuas hati kerana menjadi juara tetapi kami tahu mampu untuk bermain dengan lebih baik.
“Kami perlu ucapkan tahniah kepada pasukan Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) kerana mereka adalah pasukan yang baik dan tidak mudah bermain di final,” kata Pau Valldecabres.
Untuk rekod, pada 2023, Akademi JDT B-17 turut melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Sementara itu, bagi ketua jurulatih SMK Mutiara Impian, Noraffendi Taib, beliau menyifatkan kesilapan kecil menghukum pasukan namun pemain pemain tetap memberikan tentangan dan menyerap setiap asakan JDT.
“Kesilapan kecil di awal permainan menghukum kami tetapi berjaya untuk bangkit. Walaupun hujan, tetapi kami tetap memberikan permainan yang sengit dan (JDT) dibarisi pemain pemain kebangsaan, kami menyerap tekanan dan berserah kepada takdir.
“Kita memiliki dua atau tiga peluang tetapi tidak dimanfaatkan dan JDT bijak menggunakan peluang yag ada.”kata Noraffendi.
SMK Taman Desa turut merangkul dua anugerah, iaitu Penjaga Gol Terbaik yang dimenangi Muhammad Naqqiudin Zamzuri dan Abid Safaraz Rozaidi yang dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai.
© New Straits Times Press (M) Bhd