July 23, 2024

Akademi TPC cungkil pelapis bola sepak

Akademi TPC cungkil pelapis bola sepak


KUALA LUMPUR – Akademi Topo Personal Coaching  (TPC) kini menjadi platform mencungkil bakat baharu pemain bola sepak sebagai penyelesaian untuk membantu kanak-kanak dari peringkat awal bagi mencapai potensi penuh mereka dalam bidang sukan itu.

Pengasas akademi, Muhammad Azril Abdul Hamid berkata, ia kerana TPC dikenali dengan pendekatan secara langsung dan komprehensifnya yang menawarkan pelbagai program latihan bola sepak dan disesuaikan untuk memenuhi keperluan setiap pemain.

Beliau yang juga ketua jurulatif TPC berkata, dengan memberi fokus pada pembangunan holistik, akademi itu juga bukan sahaja menekankan kecemerlangan dalam permainan bola sepak tetapi juga pembinaan sahsiah dan kemahiran insaniah.

“Dalam mengimbangi penguasaan akademik dan sukan, ibu bapa di negara ini sentiasa mencari jalan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan dan latihan sukan terbaik. Penglibatan anak-anak dalam sukan amat penting untuk kemenjadian peribadi mereka kerana ia menyumbang kepada perkembangan fizikal, sosial dan mental yang holistik.

“Sukan seperti bola sepak membantu meningkatkan kecergasan, membina kemahiran sosial dan komunikasi, serta mengajar disiplin, kepimpinan, dan etika kerja. Selain itu, sukan bola sepak ini juga membantu dalam pengurusan emosi, meningkatkan keyakinan diri, dan mengajarkan integriti serta semangat kesukanan.

“Melalui penglibatan aktif dalam sukan, anak-anak dapat membentuk asas yang kukuh untuk kejayaan masa depan dan menjadi individu yang seimbang serta berdaya saing,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Pengasas Akademi TPC, Muhammad Azril Abdul Hamid.

Beliau merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah mewakili pasukan bola sepak Malaysia serta beberapa pasukan bola sepak profesional dalam negara dalam Liga Super.

Ketika ini, Akademi TPC mempunyai barisan kejurulatihan yang terdiri daripada 15  jurulatih yang berpengalaman luas dalam pembangunan bola sepak akar umbi lebih daripada 10 tahun.

Muhammad Azril menambah, akademi itu perlu menjadi pilihan bakat baharu kerana setiap pemain diberikan perhatian khusus oleh jurulatih berpengalaman yang memahami keperluan individu mereka.

Katanya, dengan menghadkan jumlah pemain dalam setiap kumpulan latihan kepada maksima enam hingga lapan pemain, TPC memastikan setiap pemain mendapat sokongan dan bimbingan yang tepat untuk meningkatkan kemahiran individu dan mencapai kejayaan.

“TPC juga menawarkan program latihan yang terancang dan berstruktur meliputi semua aspek penting dalam bola sepak dan membantu mereka menguasai kemahiran teknikal, kecergasan fizikal, taktik dan strategi sepasukan, dan kecerdasan pemain.

“Selain daripada kecemerlangan dalam bola sepak, akademi ini juga menekankan pembinaan sahsiah pemain melalui pelbagai aktiviti dan modul latihan, pemain diajar kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan.

“TPC kini memiliki rekod pencapaian cemerlang apabila ramai pemain yang telah menjalani latihan di akademi telah menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi bola sepak mereka dan adalah bukti keberkesanan pendekatan dan metodologi yang digunakan oleh akademi ini,” katanya.

Ketika ini, Akademi TPC mempunyai barisan kejurulatihan yang terdiri daripada 15  jurulatih yang berpengalaman luas dalam pembangunan bola sepak akar umbi.

Muhammad Azril memberitahu, Akademi TPC juga kini menubuhkan kelab TPC Football Club (FC) dan memberi fokus kepada pasukan bawah 12 tahun dan 10 tahun yang telah mula mencatatkan pencapaian cemerlang.

Katanya, apa yang membanggakan, pasukan bawah 12 tahun tahun telah memenangi Piala Cyberjaya, Piala Plate – Setia Alam Cup, bergelar naib juara Piala Southantom 2024
Yok Bola Johor 2024 selain tempat ketiga FH Youth Tournament 4.0 2024.

“Pasukan bawah 10 tahun juga muncul juara Piala Southantom Cup 2024 dan Yok Bola Johor 2024, Piala Rimbayu 2023, Piala Plate Owl Trafford 2023 dan tempat ketiga Piala Super Bangkok International 2023.

“Justeru, kami ingin mengalukan kerjasama dengan mana-mana syarikat sebagai penaja agar TPC FC dapat melangkah lebih jauh untuk menyertai kejohanan yang lebih berprestij dan berkualiti sama ada di dalam atau luar negara,” katanya yang juga Presiden TPC FC.

Sementara itu, Akademi TPC kini menawarkan sesi percubaan percuma bagi ibubapa yang berminat untuk melihat sendiri keberkesanan program latihan bola sepak mereka.

Untuk maklumat lanjut, ibubapa boleh melayari laman web rasmi TPC di topopersonalcoaching.pro atau menghubungi di media atau menghubungi di talian +60124734567 untuk membuat temu janji. – MalaysiaGazette

TPC Football Club ditubuhkan secara rasmi pada Mei lalu.



Source link

OR

Scroll to Top