Pemain dan staf kejurulatihan mendengar pesanan disampaikan Lee pada sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS menjelang pertembungan Tier 1 menentang Harimau Malaya di Bukit Jalil. Foto FAS
JURULATIH sementara Singapura, Gavin Lee mengakui pertembungan dengan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 malam ini bakal menjadi ujian getir buat anak buahnya.
Menurut Lee, fokus utama skuadnya bukan semata-mata keputusan perlawanan, sebaliknya penilaian terhadap prestasi keseluruhan pasukan.
“Terdapat dua perkara, iaitu prestasi dan keputusan. Apa yang boleh kami kawal adalah prestasi, manakala keputusan dipengaruhi banyak faktor. Lebih banyak perkara baik yang dilakukan, lebih besar peluang meraih keputusan positif.
“Kami tahu perlawanan ini sukar dengan pelbagai detik yang tidak selesa. Bagaimana pasukan memberi reaksi terhadap situasi itu akan menjadi aspek penting untuk dibawa ke Kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.
Beliau menegaskan aksi menentang Malaysia akan menjadi gambaran jelas terhadap kemampuan pasukannya sebelum berdepan India dalam Kelayakan Piala Asia 2027, bulan depan.
“Ini cabaran hebat kerana kami perlu bersedia sepenuhnya untuk dua perlawanan penting menentang India. Tiada persediaan lebih baik selain berdepan pasukan kuat di tempat lawan.
“Pengalaman di Malaysia akan kami gunakan sebaiknya sebagai persiapan menghadapi aksi kelayakan bulan depan,” jelasnya.