Pempengaruh dan usahawan, Sasha Abdul Aziz, berkongsi detik kegusaran apabila berdepan rezeki yang dirasakan semakin sempit sejak minggu lalu, termasuk akaun media sosialnya kerap dikenakan ‘restriction’ hingga menjejaskan jualan.
Menerusi sebuah video di Instagram Story (IGs) miliknya, Sasha berkata situasi itu membuatkan dia tertanya-tanya di mana silapnya meskipun sudah meletakkan usaha keras dalam perniagaan.
“Sejak seminggu yang lalu, saya rasa macam rezeki tak macam sebelum ni, rasa sempit sedikit kali ini. Saya fikir apa yang saya buat salah sampai rezeki saya rasa sempit. Dah buat lebih tapi hasilnya tak setimpal.
“Akaun saya pula kena ‘restriction’ selalu, hasil jualan tak seperti sebelum ini. Kat mana silap saya… ujian besar sangat. Saya rasa risau, resah,” katanya.
Jelas Sasha, selepas menilai kembali rutin hariannya, dia menyedari ada beberapa hari dirinya tertinggal solat Subuh dan tidak menunaikannya tepat pada waktu.
“Rupanya ada beberapa hari aku tertinggal Subuh dan tak solat tepat pada waktu. Saya lengah-lengahkan. Bila ayah saya datang, dia ceramah dekat saya tentang solat Subuh. Lepas tu dia asyik sebut solat tepat pada waktu,” katanya.

Lebih mengejutkan, ujar Sasha, selepas dia kembali menjaga solat Subuh dan mengamalkan sedekah Subuh selama empat hari berturut-turut, segala urusan perniagaannya kembali dipermudahkan.
“Demi Allah, selama empat hari ini saya buat sedekah Subuh dan MasyaAllah, akaun saya tak kena restriction langsung.
“Bila buat siaran langsung meniaga, saya dapat semula sales macam sebelum ini. Allah Maha Besar,” katanya.





