Antara kata-kata semangat dan doa daripada peminat Faisal di ruangan komen Instagramnya.
RUANGAN komen di Instagram pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dibanjiri doa serta kata-kata semangat daripada peminat susulan isu rumah tangganya yang kini menjadi perhatian umum.
Rata-rata warganet meluahkan sokongan agar pemain sayap Selangor FC itu yang mesra digelar Mickey, terus tabah menghadapi cabaran hidup.
“Semoga ALLAH berikan kekuatan dan kelapangan hati untuk tempuh ujian,” tulis pengguna Instagram @atita.rahman7.
Seorang lagi pengguna, @izzzfarr turut menitipkan doa agar Faisal kekal kuat dan dipermudahkan segala urusan.
“Tabah menghadapi ujian dengan tenang, semoga kembali pulih… keep it up Mickey,” kongsi @ceqpit.
Pengguna @mohdsaifulanuar pula menulis: “Insya-Allah Faisal terus ke depan, good luck Mickey.”
Sebelum ini, media melaporkan bahawa isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Selasa.
Bagaimanapun, prosiding tersebut merupakan sebutan awal dan belum ada keputusan lanjut mengenai status perkahwinan mereka.
Untuk rekod, Faisal mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khalish Aryan.
Faisal juga pernah diuji dengan insiden disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, pada 8 Mei lalu, peguamnya mengesahkan bahawa kes serangan tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Pejabat Peguam Negara.