SETIAP hari, ribuan pengguna bergantung kepada platform digital untuk berkomunikasi, menjalankan perniagaan dan mengurus kewangan.
Namun, di sebalik kemudahan itu, penipuan dalam talian terus menular, mengakibatkan kerugian kewangan, pencerobohan data peribadi serta menjejaskan keyakinan orang awam terhadap ekosistem digital.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) menegaskan usaha membanteras penipuan tidak boleh bergantung semata-mata kepada kewaspadaan pengguna atau tindakan selepas kerugian berlaku.
Sebaliknya, platform digital perlu memikul tanggungjawab terhadap keselamatan sistem mereka, termasuk aspek pengesanan scam, pengurusan risiko serta penghapusan kandungan berbahaya.
Di bawah kerangka pelesenan ONSA, penyedia perkhidmatan digital diwajibkan memperkukuh mekanisme pengesanan penipuan, mengehadkan penyebaran kandungan scam serta bertindak pantas menurunkan kandungan berunsur penipuan bagi melindungi pengguna sebelum menjadi mangsa.
Faktor manusia serta literasi digital
Mengulas faktor yang menyumbang kepada keberkesanan penipuan, Pakar Kriminologi, Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, kelemahan manusia masih menjadi sasaran utama penjenayah yang mengeksploitasi emosi seperti ketakutan, ketamakan dan simpati.
Menurut beliau, walaupun sistem keselamatan dipertingkatkan, kesilapan manusia seperti mudah percaya atau panik sering membuka ruang kepada manipulasi.
“Teknik penipuan kini semakin canggih, termasuk penggunaan spoofing, akaun palsu yang kelihatan sah, teknologi deepfake serta mesej yang meniru komunikasi rasmi agensi kerajaan dan institusi kewangan,” katanya.

Sementara itu, Pakar jenayah bebas dan Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menekankan operasi penipuan yang bersifat rentas sempadan serta penggunaan akaun palsu menyukarkan penguatkuasaan undang-undang.
Justeru, penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu membantu platform digital mengesan tingkah laku mencurigakan, memantau akaun berisiko tinggi serta mengawal penyebaran penipuan dalam talian dengan lebih berkesan.
“Kerjasama erat antara platform digital, pihak berkuasa dan institusi kewangan amat penting bagi mempercepatkan tindak balas terhadap laporan penipuan, sekali gus mencegah kerugian serta melindungi pengguna lebih awal,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, tahap kesedaran awam yang tidak seimbang menyebabkan sesetengah kumpulan seperti warga emas, peniaga kecil dan pengguna baharu teknologi lebih mudah menjadi sasaran penjenayah.
Keengganan mangsa membuat laporan kerana rasa malu atau bimbang implikasi tertentu turut memberi ruang kepada penjenayah untuk terus beroperasi.
Dr Akhbar menegaskan teknologi semata-mata tidak mencukupi tanpa sokongan pemikiran kritikal dan literasi digital dalam kalangan pengguna.
Namun, beliau menekankan bahawa tanggungjawab utama tetap terletak pada platform untuk memastikan sistem yang dibangunkan mampu mengurangkan risiko dan melindungi pengguna.
Keselamatan dalam talian, katanya, bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan platform bertanggungjawab terhadap risiko yang wujud dalam sistem mereka.
Internet hanya akan menjadi ruang yang lebih selamat apabila platform memikul akauntabiliti penuh, disokong sistem keselamatan berkesan serta langkah proaktif pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd






