hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada 11 malam, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dijangka akan memberi keterangan berhubung demonstrasi yang diketuainya di hadapan sebuah kedai di Kepala Batas semalam berkait isu Jalur Gemilang.
Turut hadir lebih 50 penyokong Dr Muhamad Akmal bagi memberi sokongan kepadanya berhampiran IPD Dang Wangi.
Beliau dijangka akan membuat sidang media selepas selesai memberi keterangan, malam ini.
Terdahulu, dalam hantaran video di Facebook, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau dihubungi pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang memintanya hadir ke IPD Dang Wangi, malam ini.
Semalam, beliau dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.
Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.
Katanya, tindakan Akmal itu mengabaikan amaran Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang supaya tidak mengadakan perhimpunan awam.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, sambil menyifatkan perarakan itu sebagai provokatif dan menyalahi undang-undang serta mendakwa ia menggugat usaha memupuk perpaduan sempena bulan kemerdekaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd