am@hmetro.com.my
Sepang: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan penyeludupan tanduk dan tengkorak rusa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, semalam.
Tindakan itu dilakukan melalui Bahagian Pemeriksaan Barangan hasil pemeriksaan bagasi seorang penumpang penerbangan sebuah syarikat penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Hanoi kira-kira jam 12 tengah hari.
AKPS berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga Perancis membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah.
“Barangan yang disita ialah dua disyaki tanduk rusa dan satu disyaki tengkorak rusa. Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM3,000.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis bagi siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, barang kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut
“AKPS menegaskan komitmen berterusan memperkukuh kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang jenayah rentas sempadan terutama membabitkan pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





