AKPS Rampas 7 Kontena Ayam, Itik Sejuk Beku Diragui Status Halal

AKPS Rampas 7 Kontena Ayam, Itik Sejuk Beku Diragui Status Halal


Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas tujuh kontena ayam dan itik sejuk beku pada 9 April lalu kerana diragui status sijil halalnya.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, selain itu ia juga disyaki terbabit pemalsuan dokumen termasuk sijil kesihatan yang kosong.

Katanya, rampasan bernilai RM1 juta itu adalah hasil pemeriksaaan ke atas kontena hasilan haiwan di Tapak Pemeriksaan Kontena CT2 di Pelabuhan Klang Utara.

“AKPS mengesan enam kontena membawa dagangan ayam sejuk beku dan satu kontena itik sejuk beku dengan berat 187,800 kilogram (kg) dan anggaran nilai RM1,062,048.

“Kita mengesan cubaan pemalsuan dokumen selain penggunaan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang meragukan, begitu juga sijil kesihatan disyaki kosong,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Utara hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya juga mendapati kesemua kontena berkenaan bukan berasal dari China sebagaimana dalam dokumen pengisytiharan.

“Sebaliknya ia dari sebuah negara lain berhampiran China. Pemeriksaan invois serta senarai bungkusan juga mendapati maklumat ketibaan kontena serta nombor siri tidak sama.

“Semua dagangan disita bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan serta memastikan aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan dan tindakan lanjut.






Source link

OR

Scroll to Top