GEORGE TOWN – Kerajaan bercadang memperkenalkan konsep gated (akses terhad) terhadap pemilik yang culas membayar yuran penyelenggaraan menerusi Program Residensi Rakyat (PRR) yang akan dilancarkan tahun depan.
PRR merupakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) yang telah diluluskan Kabinet pada September lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pemohon yang berjaya mendapatkan rumah menerusi PRR akan diwajibkan menghadiri sesi taklimat untuk meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab pembayaran yuran penyelenggaraan.
Kata beliau, taklimat itu diwajibkan susulan pihaknya mendapati masalah umum yang dihadapi oleh kementerian adalah isu penyelenggaraan disebabkan kegagalan pemilik membayar yuran.
“Mereka (pemilik) menikmati kemudahan tapi sengaja tak mahu bayar. Saya bagi contoh, ada PPR di Perlis yang mana kebanyakan kediaman ada Astro dan mampu bayar tapi yuran penyelenggaraan tak mahu bayar.
“Jadi itu bukan tidak mampu, memang lalai ataupun tidak bertanggungjawab. Sehubungan itu, untuk PRR akan datang kita cadang melakukan konsep gated yang mana mereka yang bayar diberikan kad akses manakala yang culas saya minta maaf.
“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Johor telah menunjukkan inisiatif yang baik dalam hal ini, dan kita bercadang untuk melaksanakan langkah yang serupa di seluruh negara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Kor Ming menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Rumah Ideal Residency di bawah PR1MA di Bukit Gelugor, di sini.
Projek perumahan Ideal Residency itu merupakan projek terbesar PR1MA di negeri ini merangkumi pembangunan 1,218 unit kediaman yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, taman permainan serta dewan serba guna.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, 18 daripada 24 projek sakit melibatkan PR1MA yang diwarisinya ketika mula bertugas sebagai Menteri di kementerian tersebut telah diselesaikan.
“Baki lagi enam projek sakit iaitu masing-masing dua di Melaka dan Kedah manakala Negeri Sembilan (1), Kelantan (1) dijangka siap hujung tahun ini.
“Secara keseluruhan, PR1MA telah membangunkan 54,000 unit perumahan menerusi 88 projek dan mereka akan membawa projek baru bertaraf dunia ke Pulau Pinang yang akan dilengkapi dengan fasiliti seperti The World Class Eco Park,” katanya. – MalaysiaGazette