Aksi berani Young Tigers belum cukup untuk ke final

Aksi berani Young Tigers belum cukup untuk ke final


PETALING JAYA: Aksi berani yang dipamerkan oleh skuad hoki remaja negara wajar diberi pujian walaupun mereka terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 kepada juara bertahan India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Oman, Muscat, semalam.

Pengendali Young Tigers, I. Vikneswaran memuji semangat juang yang dipamerkan oleh pemainnya bagaimanapun mengakui penyudah yang tumpul menjadi penghalang buat pasukannya dalam mencipta gol.

“Pada hari ini (semalam) kita main dengan baik lawan India tapi tak dapat menjaringkan gol dengan peluang yang ada di hadapan gawang. Saya rasa mungkin pemain kita tidak bernasib baik terutamanya pukulan sudut penalti yang terkena tiang dan percubaan gol padang.

“Namun apa yang penting yang saya lihat buat masa ini, cara pemain ini berani bawa bola ke kawasan pertahanan India dan penguasaan bola kita lebih cuma mungkin kita kena cuba lebih banyak menjaringkan gol kalau nak menang mana-mana perlawanan.

“Ini pengajaran yang kena belajar, pukulan sudut penalti kita dapat lagi banyak dan sekali lagi pemain beraksi dalam keadaan tertekan dan tak dapat menyempurnakan peluang yang ada,” katanya.

Dalam aksi tersebut, India berada di depan seawal minit ke-10 menerusi gol padang Dilraj Singh sebelum Rohit dan Sharda Nand Tiwari masing-masing menjaringkan pada minit ke-45 dan ke-53 hasil pukulan sudut penalti.

Gol saguhati negara dijaringkan Azimuddin Syakir Kamaruddin hasil pukulan penalti.

Vikneswaran turut memuji aksi penjaga gol negara, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani yang bertungkus lumus menyelamatkan gawang daripada dirobek pihak lawan.

Young Tigers dijadual menentang Jepun dalam penentuan tempat ketiga dan keempat manakala final menyaksikan India bertemu Pakistan dengan kedua-dua aksi tersebut berlangsung pada hari ini. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top