Pemain-pemain Sabah giat menjalani latihan sebagai persedian menghadapi saingan Liga Malaysia 2025/26 yang dijadualkan bermula Ogos depan. Foto Sabah FC
PENGENDALI Sabah FC, Alto Linus menyifatkan perlawanan menentang Buriram United FC dalam aksi Perisai Komuniti ASEAN 2025 sebagai satu penghargaan besar buat The Rhinos meskipun tidak layak beraksi dalam Kejuaraan Kelab ASEAN musim ini.
Menurut beliau, aksi bertemu gergasi Thailand itu bukan sahaja mengangkat nama Sabah FC ke pentas lebih tinggi, malah menjadi medan terbaik untuk membentuk keserasian serta memperkukuh pemahaman taktikal pemain menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26.
“Walaupun kami tidak layak menyertai Kejuaraan Kelab ASEAN, tetapi dijemput beraksi menentang Buriram United FC merupakan satu penghormatan yang cukup besar buat pasukan.
“Buriram bukan calang-calang lawan, mereka pasukan elit Asia Tenggara. Ini peluang emas untuk menguji kekuatan serta meningkatkan kefahaman taktikal menjelang musim baharu,” kata Alto di Stadium Rainbow, Pattani, pada Ahad.
Perlawanan tersebut menjadi aksi pramusim kedua buat skuad The Rhinos selepas mencatat kemenangan ke atas Kasuka FC dari Brunei minggu lalu.
Tambah Alto, siri perlawanan pramusim ini sangat penting dalam merangka strategi pasukan dan membina kombinasi mantap antara pemain baharu dan tonggak sedia ada.
“Dua aksi ini penting untuk membentuk keserasian antara pemain baharu dan lama. Fokus kami kini adalah meningkatkan kecergasan serta kesediaan taktikal keseluruhan pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mendedahkan Sabah FC merancang untuk mengadakan tiga hingga empat lagi perlawanan persahabatan sebelum memuktamadkan senarai kesebelasan utama.
“Masih ada beberapa aspek yang perlu dinilai. Kami perlukan lebih banyak perlawanan bagi menilai sepenuhnya prestasi pemain sebelum menentukan siapa yang layak menggalas tugas dalam skuad utama,” katanya.
Sabah FC menutup tirai musim lalu dengan prestasi memberangsangkan, namun Alto mengakui cabaran untuk mengekalkan momentum itu memerlukan perancangan rapi dan kerja keras daripada seluruh pasukan.
“Sudah tentu cabaran musim ini lebih besar, namun kami kekal optimis dan fokus terhadap perancangan sedia ada. Komitmen barisan kejurulatihan dan pemain amat membanggakan,” katanya.
Perlawanan menentang Buriram United FC dijadual berlangsung di Stadium Rainbow petang ini dan dijangka menjadi ujian sebenar buat Sabah FC sebelum sepak mula Liga Super 2025/26.