Aksi sukar – Redzovic

Aksi sukar – Redzovic



sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada malam esok bukan hanya terarah kepada pemain tapi juga jurulatih.

Hal ini kerana ketua jurulatih skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain adalah bekas pengendali TFC selama empat musim berturut-turut bermula 2019 dan sudah pasti beliau mengenali dengan lebih dekat sesetengah pemain TFC.

Tambah menarik, dua bekas pemain skuad Penyu musim lalu, Sony Norde dan Faiz Nasir adalah antara tonggak skuad itu pada musim lalu sebelum berhijrah ke bumi Kedah.

Pandangan itu disuarakan pemain pertahanan import TFC, Argzim Redzovic yang menyifatkan pertemuan dengan skuad itu di tempat mereka sendiri adalah sukar namun menarik untuk disaksikan.

Bagaimanapun pemain kelahiran Montenegro itu percaya dengan taktikal ketua jurulatih baharu, Badrul Afzan Razali dan pembantunya, Hairuddin Omar, TFC tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Impian kami adalah untuk cuba mendapatkan tiga mata selepas enam perlawanan tanpa kemenangan, tapi kami sedar ianya bukan tugas mudah buat kami.

“Ini kerana mereka adalah pasukan yang bagus ditambah beraksi di rumah mereka, malah ada beberapa bekas pemain TFC iaitu Norde dan juga Faiz mengenali beberapa pemain pasukan kami.

“Selain itu jurulatih mereka, Nafuzi adalah pengendali yang baik, jadi pasti beliau akan mengatur taktikal yang berkualiti untuk pasukannya menentang kami ditambah jurulatih itu mengenali hampir semua pemain TFC.

“Jadi sudah pasti ianya akan menjadi permainan sukar buat kami, tapi kami hadir dengan mentaliti untuk melakar kemenangan, kami juga percaya dengan taktikal yang bakal diterapkan Badrul Afzan dan Hairuddin,” ujarnya ketika dihubungi.

Ketika ditanya adakah dia sudah bersedia untuk diturunkan selepas baharu pulih daripada kecederaan, pemain yang hampir lima musim bersama Terengganu akui dia bagaikan tidak sabar untuk beraksi.

“Saya baharu pulih daripada kecederaan dan mula berlatih dengan pasukan sejak empat hari yang lalu, jadi saya tidak pasti berdepan Kedah akan diturunkan ataupun sebaliknya,.

“Tapi jika jurulatih mahukan saya beraksi, saya sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk membantu pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top