Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh perlindungan hak dan kebajikan pekerja ekonomi gig di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata akta itu memastikan pekerja gig menerima perlindungan perundangan asas yang selari dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini.
“Akta ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan pekerja dalam ekonomi gig mendapat perlindungan perundangan asas yang wajar diperolehi selaras dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut beliau, seramai 1.64 juta individu dalam sektor gig dijangka mendapat manfaat melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, kepastian bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.
Beliau berkata, Malaysia kini berada di barisan hadapan rantau ini dalam memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi sektor gig secara menyeluruh, sekali gus berpotensi menjadi rujukan di peringkat serantau dan global.
Dalam masa sama, akta itu turut memperluaskan definisi pekerja gig meliputi mereka yang bekerja melalui platform digital seperti e-hailing serta pekerja tanpa platform dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kreatif, profesional dan bebas.
Ramanan menegaskan, penggubalan akta berkenaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses menyeluruh sejak 2024, termasuk 37 siri sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Akta ini telah diwartakan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Disember 2025.
“Oleh itu tidak timbul isu akta ini digubal dan dilaksanakan secara tergesa-gesa oleh sesetengah pihak,”ujar beliau.
Bagi memperkukuh tadbir urus sektor gig, Majlis Perundingan Gig ditubuhkan sebagai platform tripartit melibatkan kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak untuk menasihati kerajaan termasuk dalam penetapan kadar pendapatan minimum.
Selain itu, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan penyelaras tunggal dijangka memastikan pembangunan ekosistem gig dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Dalam usaha memudahkan pekerja gig, Kementerian Sumber Manusia turut menyediakan sistem eAduan sebagai platform utama bagi menyalurkan aduan, pertanyaan dan maklum balas.
“Melalui sistem ini, setiap aduan yang diterima akan disemak, direkod dan disalurkan kepada jabatan atau agensi berkaitan untuk diambil tindakan lanjut,”ujarnya lagi.

Tambah beliau, sebelum ini pekerja gig tidak mempunyai saluran khusus untuk menyelesaikan pertikaian industri, namun penguatkuasaan akta ini kini menyediakan proses yang lebih jelas dan tersusun.
“Sekiranya pertikaian tidak dapat diselesaikan di peringkat pendamaian, ia akan dirujuk ke Tribunal Pekerja Gig bagi memastikan pertikaian dapat diselesaikan secara profesional, bebas daripada pengaruh luar dan berdasarkan merit fakta serta undang-undang,” kata Ramanan.
Artikel lain: Ramanan umum penambahbaikan PERKESO untuk kemudahan pekerja
Penguatkuasaan akta itu akan dilaksanakan secara bersepadu oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta PERKESO, dengan tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang.
Langkah ini dilihat sebagai pendekatan seimbang dalam merangsang pertumbuhan ekonomi digital, sambil memastikan kebajikan pekerja terus menjadi keutamaan kerajaan.







