Aktiviti bukan cari 'penyakit'

Aktiviti bukan cari 'penyakit'



razis@mediaprima.com.my

AKTIVITI abseiling air terjun adalah aktiviti ekstrem yang mampu menguji ketahanan fizikal, stamina dan mental.

Apa tidaknya, selain perlu menangani perasaan gayat, adrenalin peserta turut diuji apabila perlu menuruni laluan cerun air terjun yang curam, licin dan tidak rata serta pada masa sama perlu menahan tujahan arus deras dari atas.

Melihat cabaran yang perlu dihadapi, bagi sesetengah individu akan beranggapan aktiviti ini seperti melakukan kerja gila dan mencari penyakit. Bagaimanapun, bagi penggemar aktiviti lasak, ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Sebenarnya di negara ini terdapat beberapa lokasi yang menjadi tumpuan peminat aktiviti ini dan salah satu daripadanya adalah Lata Tengkoh Penyel, Sungai Siput, Perak.

Terletak di kawasan perkampungan Orang Asli Kampung Pendeq, Pos Yum, lokasi ini memiliki keindahan dan kebersihan air terjun yang masih terpelihara.

Selain menjadi lokasi pilihan untuk ‘healing’ sambil menikmati keindahan alam semula jadi, air terjun ini menjadi tumpuan bagi peminat aktiviti abseiling air terjun dari dalam dan luar negara.

Penggiat aktiviti rekreasi, Awangku Jaafarizam Awang Norlela dari Kc Outdoor Recreation berkata, pihaknya mula menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti abseiling di kawasan itu sejak tahun 2017.

Katanya, keunikan air Lata Tengkoh Penyel adalah terdapat dua pilihan laluan iaitu pada ketinggian 60 meter dan 30 meter yang menawarkan cabaran yang berbeza.

“Kebiasaannya, lebih ramai ramai memilih laluan ketinggian 30 meter yang lebih mudah dan cepat kerana permukaan lebih luas.

“Biarpun begitu, laluan ini masih mempunyai cabaran tersendiri dan akan menguji kekuatan fizikal dan mental peserta kerana mereka perlu melalui beberapa kawasan licin serta arus deras. Laluan ini akan mengambil masa kira-kira lima minit untuk diselesaikan bergantung kepada keberanian dan keupayaan peserta,” katanya.

Bagi laluan ketinggian 60 meter pula, ia lebih sesuai dilakukan mereka yang benar-benar ingin mencabar diri.

“Di laluan ini, peserta perlu menempuh banyak kawasan tujahan air terjun deras yang akan menguji kekuatan fizikal dan keberanian mereka. Pergerakan perlu dilakukan dengan lebih teliti dan berhati-hati supaya tidak tergelincir dan hilang pegangan tali.

“Laluan paling mencabar adalah mereka wajib melalui satu kawasan lubuk yang dipanggil ‘washing machine’ yang agak mencabar untuk keluar daripada gulungan air itu,” katanya.

Menurutnya, ketika menuruni air terjun, pihaknya sentiasa menasihatkan peserta supaya berjalan dengan berhati-hati pada laluan batu yang tidak rata dan licin

“Ketika berjalan peserta perlu mahir memilih tempat untuk berpijak yang betul kerana kebanyakan mereka lebih cenderung mengelak melalui kawasan air. Sebenarnya laluan berair ini lebih selamat dilalui kerana tidak licin berbanding kawasan yang berlumut.

“Saya juga galakkan peserta untuk memakai stokin sahaja supaya kaki lebih dapat mencengkam di laluan licin berbanding menggunakan kasut,” katanya.

Oleh kerana aktiviti lasak ini agak berisiko, pihaknya amat menitik beratkan aspek keselamatan peserta.

Katanya, sebelum melakukan aktiviti, peserta diberikan taklimat keselamatan termasuk pemakaian peralatan keselamatan seperti topi keledar dan abah-abah serta teknik penggunaan tali.

“Bagi peserta yang pertama kali melakukan aktiviti ini, kita akan lakukan demonstrasi di kawasan batu berhampiran. Dalam sesi ini peserta akan diberikan peluang mencuba untuk membina keyakinan diri sebelum melakukan abseiling di lokasi yang sebenar,” katanya.

Jelasnya, ketika aktiviti sedang dijalankan, beberapa kru berpengalaman turut ditempatkan di lokasi berisiko supaya tindakan segera boleh diambil sekiranya peserta sering berdepan masalah.

“Kebiasaannya apabila melalui kawasan arus deras, ada dalam kalangan peserta tidak dapat keluar. Apabila keadaan ini berlaku, peserta yang tersekat akan terus dibantu kru yang bertugas,” katanya.

Katanya, sejak memperkenalkan aktiviti abseiling di kawasan itu, pihaknya menerima banyak menerima peserta dalam kalangan peminat aktiviti lasak dari dalam dan luar negara.

“Alhamdulillah, majoriti peserta memberi maklum balas positif. Malah, ada peserta yang tidak serik beberapa kali kembali semula untuk melakukan aktiviti abseiling di sini.

“Bagi saya, lokasi ini mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Saya berharap pihak berkaitan terus promosikan dan pada masa sama menaik taraf kemudahan di sini dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top