‘Orang sakit pun kita nangis apatah lagi anak. Tak kan lah ya aku ni kuat, nangis je lah aku mampu buat’.
Demikian luahan perasaan pelakon, Amyza Aznan menerusi perkongsian sebuah video pendek yang tular di Instagram.
Kata Amyza, dia mengakui dirinya tidak sekuat yang disangka oleh ramai pihak apatah lagi selepas berdepan ujian berat melibatkan dua anaknya dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Menerusi temu bual bersama individu yang dikenali sebagai @ainiyusof_lee, Amyza meluahkan rasa ‘penat’ memendam perasaan meskipun sering dilihat tenang ketika ditemu bual media.
“Aku sebenarnya dah tak kuat pun. Awal tahun 2025, Andre. Awal 2026 Ian… macam mana nak kata kuat tu. Dekat mana nak kuat tu. Memang nak kata bersangka baik tapi kadang-kadang terlari juga.
“Suami kita okay lagi tau, kalau bila anak tu… Bila kita di interview memang kita tak nak nangis sebab kita tahu dia akan tengok benda-benda tu semua. Tapi kita ni Mak. Orang sakit pun kita nangis apatah lagi anak. Tak kan lah ya aku ni kuat, nangis je lah aku mampu buat,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan yang mampu dilakukannya hanyalah melepaskan tangisan dan jeritan bersendirian didalam kereta tanpa pengetahuan sesiapa.
“Paling kuat pun aku nangis dalam kereta, nangis seorang-seorang. Itu yang aku buat dua hari lepas. Aku duduk dalam kereta, aku jerit sorang-sorang.
“Kalau cakap kuat pun tipu je lah… tipu diri sendiri. Otak penat untuk bersangka baik. otak penat untuk positifkan diri. Penat,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan peminat berasa sebak dengan luahan Amyza sekali gus menitipkan doa untuknya agar diberikan ketenangan hati melalui fasa sukar ini.
Sekadar info, anak sulung Amyza iaitu, Andre Mikhail Khairil Idzhar, 23, dilaporkan telah mengehmbuskan nafas terkahirnya pada Isnin.
Allahyarham juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, pada jam 10.40 pagi tadi.
Turut hadir memberi sokongan moral kepada Amyza ialah rakan artis antaranya Didie Alias, Ieda Moin, Datin Seri Umie Aida, Datuk Fauziah Nawi, Datuk Fizz Fairuz, Lisdawati, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Zed Zaidi dan Ellie Suriaty.
Sekadar info, Allahyarham yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga yang dihidapi sejak setahun lalu.






