Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) menawarkan aku janji had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri, jika parti itu dipilih mentadbir kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Itu antara tawaran digariskan BN dalam manifesto Rancangan Pembangunan Sabah Satu yang menjadi aku janji baharu untuk rakyat negeri berbekal pengalaman mentadbir sebelum ini.
Menerusi manifesto itu, langkah mengehadkan penggal itu, sebagai memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam kepimpinan negeri.
“Reformasi ini bertujuan mengelak pemusatan kuasa terlalu lama kepada seseorang individu supaya membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih segar, dinamik dan berpaksikan kepentingan rakyat, dan memperkukuhkan prinsip demokrasi,” menurut manifesto itu.
Pembentangan manifesto itu dibuat Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Salleh berkata, BN Sabah juga konsisten menuntut 40 peratus hasil pendapatan yang diperoleh dari negeri Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan.
Katanya, tuntutan ini bukan sekadar janji politik tetapi perjuangan berasaskan hak Perlembagaan untuk memastikan Sabah menikmati pembangunan yang adil dan setara selaras dengan semangat Persekutuan.
“Memperjuangkan Sabah bukan hak mana-mana ahli politik tapi perjuangan orang Sabah. Tapi parti politik harus memastikan hak orang Sabah terjamin.
“Prinsip kita, mana yang terambil dikembalikan, mana yang belum dilaksana, dilaksanakan,” katanya.
Selain itu katanya, BN komited memperkukuh hak dan autonomi negeri melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memantau pelaksanaan terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
© New Straits Times Press (M) Bhd






