Pengarah dan pelakon prolifik, Erma Fatima berkongsi pandangan penuh makna mengenai erti sebenar cinta sejati, yang disifatkannya sebagai pinjaman daripada Allah SWT dan bukan milik mutlak manusia.
Kata Erma, setiap insan yang hadir dalam kehidupan kita dan pernah dicintai tetap mempunyai makna tersendiri, biarpun akhirnya tidak kekal bersama.
“Aku tengah hadam maksud Cinta Sejati. Betul jugak ya, setiap kali kita jumpa pasangan hidup itulah yang akan kita anggap cinta sejati. Mana ada istilah lain. Tak kan cinta monyet, cinta makrifat,” katanya.
Jelasnya, manusia sering lupa cinta sejati yang dirasakan terhadap seseorang sebenarnya hanyalah ujian dan anugerah sementara daripada Tuhan.
“Tetapi kita lupa cinta sejati itu milik Allah. Dia hadirkan insan yang dianggap cinta sejati itu kepada kita semua sebagai pinjaman. Sampai masanya dia akan ambil semula kalau nasib baik, dia hadirkan pula insan lain yang juga cinta sejati dengan durasi yang kita sendiri tak ketahui sampai bila. Dia maha mengetahui segalanya,” jelasnya.
Perkara itu dikongsi Erma menerusi muat naik terkininya di Instagram.
Mengulas lanjut, pengarah drama rantaian popular TV3 ‘Keluarga Itu’ menegaskan, dua perkara yang tidak mampu dikawal manusia adalah jodoh dan maut.
“Dua hal yang kita tak mampu mengendalikannya ialah jodoh dan maut.
“Makanya, siapa pun pasangan hidup yang hadir dalam hidup kita, masa tengah angau bercinta… itu akan rasakan cinta sejati. Meskipun pengakahirannya membawa kepada kekecewaan.
“Namun, insan itu tetap pernah menjadi cinta sejati kita. Cuma, jangan lupa… Cinta apa pun, itu milik Allah,” ujarnya.







