Akui cabaran cari karya mantap buat 'sajian' peminat

Akui cabaran cari karya mantap buat 'sajian' peminat


mohamadridzuan@hmetro.com.my

“SAYA sangat bersyukur dengan apa yang ada sekarang,” luah penyanyi, pelakon dan pengacara, Wany Hasrita selepas ditanya mengenai perjalanan karier seni sepanjang hampir sedekad.

Wany atau pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, berkongsi bagaimana membina jenamanya daripada satu nama yang tidak dikenali, tiba-tiba dikenali ramai.

Malah, daripada orang tidak memperkatakan, tiba-tiba diperkatakan peminat.

Wany mengecapi antara kenangan manis dalam karier apabila meraih gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 pada 2018.

Popular menerusi lagu Menahan Rindu, Wany berkata, perjalanan kariernya berubah 360 darjah dan pelbagai tawaran terus diterima termasuk menjadi duta produk.

“Alhamdulillah syukur. Ya saya akui okay berada dalam radar peminat. Namun, pada masa sama, saya okay juga untuk tidak berada di dalam radar itu.

“Tetapi, sebagai seorang penyanyi, seorang yang ada karier seni, kadang-kadang apabila sampai satu masa, saya ada karya yang saya nak kena perdengarkan pada orang.

“Sudah tentu saya perlukan tumpuan itu. Pada saya, kena ada sikit aspek ini. Memang kita kena maklumkan pada orang saya masih ada di sini,” katanya.

Wany berkata, sementelah dia masih menyanyi, masih wujud serta bekerja dalam bidang seni, dia perlu hadir dengan lagu terbaharu saban tahun.

“Saya rasa bukan penyanyi sahaja, tapi seorang pelakon pun sama juga. Kena sentiasa ada cara agar orang nampak kita dalam setiap medium. Jadi Mei lalu saya tampil dengan single Jahat.

“Semestinya sebagai seorang penyanyi, kena sentiasa tarik perhatian peminat untuk dengar dan tengok kita. Kalau tidak di radio, sekarang ini ada platform digital.

“Dekat media sosial pun kita kena aktif juga. Benda itu sangat membantu untuk kita dan untuk orang sedar yang kita masih ada dalam industri dan untuk ‘branding’ juga,” katanya.

Penyanyi berstatus isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata ini mengakui sering ditanya peminat sama ada masih aktif menyanyi dan itu membuatkan dia perlu mempunyai usaha untuk mempromosi diri di televisyen.

“Contohnya, macam pelakon, kita kena berlakon kan, hari-hari orang nampak. Tapi macam penyanyi, setakat ada show setiap minggu itu saja.

“Ia memadai juga tetapi untuk ada tumpuan golongan yang kita tak dapat sampai, tak main media sosial dan hanya bergantung pada televisyen itu penting.

“Mereka akan tengok daripada televisyen (TV) lah dan tahu saya masih menyanyi. Sebagai artis ia sangat penting. Tak kisahlah walaupun kena berlakon, mengacara atau jadi tetamu,” katanya.

Wany berkata, meskipun tidak semua kemunculan itu ditawarkan bayaran, dia akan menerimanya sebagai satu bentuk publisiti.

“Kita kena turun padang untuk orang-orang tahu. Mungkin pada sesetengah orang lain macam tiada masalah dan okay sebab ada ‘show’ setiap minggu.

“Tapi saya ada pengalaman, biasanya orang kerajaan memang suka tengok TV. Mereka akan tanya saya, lama tak nampak dalam TV.

“Saya macam, eh saya ada saja, masih menyanyi dan setiap minggu ada show. Jadi dari situ saya rasa macam, penting untuk saya pergi program TV ini,” katanya.

Menurutnya, apabila mahu kekal relevan dalam industri dengan lambakan penyanyi baru yang mungkin tampil dengan trending, memang diakui susah.

“Jujurnya saya rasa sangat mencabar. Saya sebenarnya tak adalah tertekan sangat. Tetapi, ia lebih menjadi tekanan kepada nak mencari karya yang bagus.

“Tambahan pula sekarang peminat mempunyai cita rasa yang sangat berlainan. Jadi, kita tak ada pilihan lain untuk itu, selain daripada cuba konsep ‘try and error’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top