Akur 'tewas' dengan 4U2C

Akur 'tewas' dengan 4U2C


norhayati_nordin@hmetro.com.my

SIRI 2

Selain harus bersaing dengan muzik ‘rock kapak’ yang masih popular pada awal era 1990-an itu, KRU juga bersaing rapat dengan kumpulan 4U2C yang diakui Datuk Norman Abdul Halim, 54, sangat diminati ramai dengan lagu Fiona.

Menerusi album pertama Canggih pada 1992, KRU juga harus akur mereka ‘tewas’ kepada 4U2C berikutan album itu hanya dapat dijual sebanyak 20,000 unit, manakala

Fiona pula sudah dijual melebihi 100,000 unit.

“Sebenarnya kemunculan KRU dan 4U2C ketika itu, masih ‘budak-budak’. Saya pun masa itu umur 20 tahun dan tidak campur orang sangat. Jadi kadang-kadang memang ada rasa iri hati, orang itu lebih berjaya daripada kita.

“Kadang-kadang yang buat letihnya, kami ada penari empat orang dan tiba-tiba penonton jerit panggil 4U2C, pada hal kami, KRU. Jadi, bengang jugalah bila kita kena panggil 4U2C dan bukan KRU.

“Ketika itu pun, antara KRU dan 4U2C memang peminat tak boleh nak bezakan. Tapi, kita (KRU) ada juga cakap-cakap di telefon dengan Joe (4U2C) untuk bertanya khabar, kongsi pendapat.

“Sebab masing-masing (KRU dan 4U2C) saling nak cuba dapatkan perhatian. Jadi, dari situ saya rasa muncul satu persaingan sihat. Malah, bagi saya kalau tiada 4U2C, tak ada lagu Mengerti dan macam mana kami buat seterusnya.

“Mereka (4U2C) dah buka satu ‘market’ yang walaupun imej hip hop, tapi lebih kepada nyanyian. Jadi, kami (KRU) rasa, oh macam ini yang kalian buat. Jadi, kita pun cuba buat (lagu) yang lain sikit,” katanya.

Jelas Norman, KRU ambil inisiatif ‘up tempo’ pada lagu-lagu dihasilkan mereka yang berbeza daripada 4U2C, sekali gus menyifatkan persaingan baik itu mendatangkan semangat lawan.

“Tapi, saya rasa persaingan dengan 4U2C itulah yang buat kami nak jadi lebih baik kerana ada satu persaingan yang sentiasa muncul. Malah, ada juga kumpulan Nico, tetapi tidak terasa sangat (dalam persaingan).

“Kalau macam nyanyian, kumpulan Shades mula-mula lebih kepada vokal yang bagus dan kita (KRU) rasa kena fikir sesuatu terbaik untuk menyainginya. Jadi, kami cuba buat album Ooh! La! La! (1996) yang lebih kepada harmoni.

“Oleh itu, saya rasa ya memang 4U2C adalah pesaing utama kami. Namun, kemudiannya dah tak ada lagi nak lawan sangat sebab kami jadi kawan-kawan dan saling bertegur sapa.

“Tapi, ketika itu juga kami tidaklah sampai bermusuh ke apa. Malah, selama kami macam bersaing itu, antara KRU dan 4U2C memang tidak pernah buat ‘show’ bersama-sama. Sehinggalah pada Konsert GenKRU,” katanya.

Menurut Norman, dia menghubungi anggota 4U2C iaitu AC Mizal dan meluahkan hasrat itu dan kebetulan ada konsert hari keempat yang menampilkan KRU duet 4U2C buat kali pertama.

Ditanya juga mengenai peminat, Norman berkata, jika dulu setiap penyanyi ada ‘group’ (kumpulan) peminat masing-masing dan tidak boleh campur. Umpamanya, macam tengok peminat yang sokong pasukan bola sepak.

Katanya lagi, dari segi peminat fanatik tak ada sangat tetapi lebih kepada ‘haters’ yang menunjukkan perasaan benci terhadap artis. Bagaimanapun, KRU tak pernah ada pengalaman buruk dengan peminat.

Selain Norman, KRU dianggotai dua lagi adik-beradiknya iaitu Datuk Yusry, 52, dan Edry, 49.

ESOK: Lagu dan konsert diharamkan

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top