Salem Al-Dawsari antara pencetak gol buat Al-Hilal. Foto Agensi
KELAB gergasi Arab Saudi, Al-Hilal yang terkenal dengan perbelanjaan besar, menempah tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia Kelab selepas menewaskan wakil Mexico, Pachuca, 2-0 di Orlando, pada Jumaat.
Kemenangan pertama The Boss dalam kejohanan itu sudah cukup untuk melayakkan mereka sebagai naib juara Kumpulan H, di belakang juara bertahan Real Madrid.
Salem Al-Dawsari membuka tirai jaringan pada minit ke-22, sebelum Marcos Leonardo menggandakan kelebihan pada masa kecederaan.
Kemenangan ini melonjakkan juara Asia empat kali itu ke pusingan 16 terakhir, di mana mereka dijadualkan bertemu pasukan pilihan Manchester City di Orlando pada Isnin.
Pachuca, yang telah pun tersingkir selepas tewas dalam dua perlawanan pertama mempamerkan aksi bertenaga.
Namun pertahanan Al-Hilal yang dikemudi cemerlang Kalidou Koulibaly berjaya mengawal ketat penyerang berbahaya Salomon Rondon.
Ini memaksa pasukan Mexico itu hanya mampu melancarkan deretan percubaan dan peluang jarak jauh.
Al-Hilal dilihat agak lewa beberapa ketika dan diberikan sedikit ancaman Pachuca apabila mereka bertahan lebih dalam untuk melindungi kelebihan gol.
Namun, mereka berjaya bertahan untuk mencatat kemenangan yang memberikan lima mata, berbanding empat mata Red Bull Salzburg.