Firmino (kanan) turut meledak gol untuk membawa Al-Ahli ke final. FOTO: AFP
PENGENDALI Al-Hilal, Jorge Jesus meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan selepas pasukannya tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia Elite susulan kekalahan 1-3 kepada Al-Ahli dalam aksi separuh akhir, malam Rabu.
Dalam perlawanan yang berlangsung tegang di antara dua kelab Liga Pro Saudi itu, jaringan awal Roberto Firmino dan Ivan Toney pada separuh masa pertama memberikan kelebihan besar buat Al-Ahli, yang kini mara ke final buat kali pertama sejak 2012.
Jesus menyalahkan tahap pengadilan yang disifatkannya sebagai tidak setara dengan kualiti perlawanan berprestij itu.
“Pengadil tidak berada pada tahap sama dengan pasukan yang bertanding. Saya rasa dia menjadi punca kami beraksi buruk,” katanya, merujuk kepada pengadil dari Jordan, Adham Makhadmeh.
Perlawanan dicemari ketegangan dengan 11 kad kuning dilayangkan sepanjang 90 minit, termasuk dua kad kepada pertahanan Al-Hilal, Kalidou Koulibaly, yang menyebabkan pasukannya beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh baki setengah jam terakhir.
Walaupun Salem Al-Dawsari merapatkan jurang dengan jaringan pada minit ke-42, Al-Hilal terus tertekan apabila pemain gantian Hamad Al-Tuhayfan melakukan kekasaran ke atas Riyad Mahrez, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Al-Ahli.
Franck Kessie gagal menyempurnakan penalti apabila rembatan rendahnya diselamatkan Yassine Bounou. Namun pada minit ke-97, Feras Al-Brikan meledak gol ketiga, mengesahkan kemaraan Al-Ahli ke final.
Kekalahan itu mencetuskan tekanan terhadap Jesus, yang sebelum ini membimbing Al-Hilal menjuarai Liga Pro Saudi, namun gagal membawa mereka ke final ACL dalam dua musim berturut-turut.
“Saya telah lakukan segala yang saya mampu. Saya susun strategi, pilih kesebelasan utama, dan ambil keputusan taktikal – maka tanggungjawab sepenuhnya adalah saya,” katanya.