am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan al-Quran kekal sebagai benteng utama dalam mempertahankan iman, akal dan kesedaran umat Islam, khususnya ketika berdepan cabaran dunia moden.
Beliau berkata, usaha memelihara jati diri umat tidak boleh hanya bergantung kepada pegangan agama semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan penguasaan ilmu serta teknologi semasa.
Katanya, penghayatan al-Quran perlu diterjemahkan dalam bentuk pemikiran baharu yang mampu memacu pembangunan negara, selain membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak.
“Jika kita mahu mempertahankan kekuatan umat, ia mesti diasaskan kepada kesedaran Islam, diperkukuh dengan ilmu dan disokong penguasaan teknologi baharu.
“Penghayatan tilawah dan bacaan al-Quran harus membawa kepada pembinaan pemikiran baharu dalam negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, keseimbangan antara nilai Islam dan kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) amat penting bagi memastikan pembangunan tidak tersasar daripada landasan sebenar.
“Ia bermaksud mengekalkan roh Islam yang berpaksikan al-Quran, dalam masa sama gigih menguasai teknologi baharu termasuk teknologi maklumat dan AI dalam kerangka nilai Islam.
“Tidak ada ilmu yang boleh diterima tanpa terikat dengan akal budi, akhlak dan nilai,” katanya.
Sementara itu, seramai 108 peserta dari seluruh negara mengambil bahagian dalam majlis berkenaan yang berlangsung selama enam hari hingga 18 April.
Jumlah itu merangkumi 14 qari, 14 qariah serta 80 peserta hafazan yang bersaing dalam kategori tilawah serta hafazan 10, 20, dan 30 juzuk berserta tafsir.
Penganjuran kali ini turut menampilkan pembaharuan menerusi penggunaan sistem eMTHQ sebagai platform utama pengurusan pertandingan, selain pengaplikasian teknologi AI dalam segmen ibrah.
Selain itu, jemaah hakim dilantik dalam kalangan peserta Projek Rintis Modul Kompetensi Pelapis MTHQK sebagai usaha melahirkan generasi pelapis berkualiti dalam bidang tilawah dan hafazan al-Quran.
© New Straits Times Press (M) Bhd






