Washington: Zohran Mamdani mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York sejurus sebelum tengah malam 1 Januari, sekali gus menjadi Muslim dan keturunan Asia Selatan pertama yang memimpin bandar terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu selepas mengangkat sumpah jawatan dengan meletakkan tangannya di atas al-Quran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Upacara angkat sumpah itu berlangsung di stesen kereta api bawah tanah Old City Hall yang tidak lagi beroperasi.
Peguam Negara New York, Letitia James, menyempurnakan upcara angkat sumpah itu di hadapan keluarga Mamdani, menjelang majlis umum yang dijadualkan berlangsung pada Khamis dan akan dipimpin oleh Senator Bernie Sanders.
Menurut beberapa media Amerika Syarikat, naskhah al-Quran yang digunakan dalam upacara itu termasuk milik datuk Mamdani serta satu lagi naskhah milik penulis Arturo Schomburg, yang dipinjamkan oleh Perpustakaan Awam New York.
Mamdani, 34, juga merupakan individu kelahiran Afrika pertama yang berkhidmat sebagai Datuk Bandar New York. Beliau dilahirkan di Uganda kepada ibu bapa imigran dari India.
Beliau memenangi pemilihan datuk bandar pada 4 Nov lalu dengan menewaskan bekas Gabenor New York Andrew Cuomo serta calon Republikan, Curtis Sliwa, sekali gus mencatat kemenangan bersejarah bagi sayap progresif Parti Demokrat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






