Al-Razi pelopor wad psikiatri dunia

Al-Razi pelopor wad psikiatri dunia


MESKIPUN Al-Razi begitu begitu masyhur dan disanjung tinggi dalam bidang perubatan sejak abad ke-8, barangkali ramai tidak menyedari bahawa figura hebat itu sebenarnya seorang peminat muzik.

Pemilik nama sebenar Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi itu dikatakan mahir menggunakan kecapi, sejenis alat muzik tradisional, selain berpengaruh besar dalam bidang kimia.

Menginjak usia 30 tahun, laman web assets.cureus.com melaporkan, Al-Razi mula memberi tumpuan kepada bidang perubatan selepas melawat Hospital Azudi yang tersohor di Baghdad.

Beliau turut menghentikan eksperimen dalam bidang kimia kerana mengalami kerengsaan mata akibat terdedah kepada banyak sebatian kimia.

“Antara penemuannya dalam bidang kimia termasuklah asid sulfurik dan etanol,” kata laman web pmc.ncbi.nlm.nih.gov.

AL-RAZI dikatakan menjalankan pemerhatian yang sangat terperinci terhadap pesakit dengan keadaan psikiatri dan menyediakan rawatan dengan diet, ubat-ubatan, aromaterapi, mandian, muzik dan terapi kognitif.

Menurut penyedia pangkalan data penyelidikan EBSCO, Al-Razi beralih ke bidang falsafah dan perubatan didorong oleh keinginan mendalam untuk mengurangkan penderitaan manusia.

Walau apa pun alasannya, ilmuan kelahiran Ray di utara Iran itu meninggalkan legasi menakjubkan yang terus memberi manfaat hingga ke hari ini.

Sumbangan terbesar Al-Razi dalam sejarah dunia Islam dan perubatan moden adalah penubuhan wad psikiatri pertama di Hospital Baghdad pada tahun 918 Masihi. Pada ketika itu, beliau berkhidmat sebagai pengarah hospital.

Kepercayaan Al-Razi terhadap kepentingan merawat pesakit mental secara klinikal sangat progresif pada zamannya. Menurut laman web psychiatryonline.org, beliau melihat gangguan mental sebagai satu keadaan perubahan yang memerlukan rawatan khusus.

“Apa yang menariknya, beliau menjalankan pemerhatian yang sangat terperinci terhadap pesakit dengan keadaan psikiatri dan menyediakan rawatan dengan diet, ubat-ubatan, aromaterapi, mandian, muzik dan terapi kognitif.

“Malah, beliau juga yang mengamalkan bentuk awal terapi kognitif untuk gangguan obsesif dan kemurungan,” menurut laporan berkenaan.

Ujian ‘daging busuk’ untuk tapak hospital

Sebelum dilantik sebagai pengarah hospital di Baghdad, Al-Razi terlebih dahulu berkhidmat sebagai pengarah hospital di kampung halamannya di Ray di bawah pemerintahan Mansur Ibnu Ishaq dari Dinasti Samania.

Kehebatannya itu akhirnya sampai ke ibu kota Bani Abbasiyah hingga beliau dipanggil oleh Khalifah Al-Muktafi untuk mengetuai hospital di Baghdad.

Laman web National Library of Medicine (NLM) mencatatkan satu kisah menarik ketika memilih tapak untuk hospital baharu.

ANTARA halaman muka surat kitab Al-Hawi, manuskrip tertua daripada Rhazes atau Al-Razi bertarikh 1094 Masihi yang disimpan di dalam Perpustakaan Perubatan Negara di Bethesda, Maryland.

ANTARA halaman muka surat kitab Al-Hawi, manuskrip tertua daripada Rhazes atau Al-Razi bertarikh 1094 Masihi yang disimpan di dalam Perpustakaan Perubatan Negara di Bethesda, Maryland.

“Apabila Ketua Menteri Al-Muktafi, Adhud Al-Daullah memintanya untuk membina hospital baharu, Al-Razi telah meletakkan kepingan daging segar di pelbagai lokasi di Baghdad.

“Beberapa hari kemudian, beliau memeriksa kepingan itu dan memilih tempat yang dagingnya paling kurang busuk sebagai petanda ‘udara lebih bersih serta sihat’ di sana,” katanya sebagaimana dipetik dalam portal berkenaan.

Sebagaimana ilmuan Muslim yang lain, Al-Razi turut menulis karya-karya ilmiah untuk manfaat ummah.

Psychiatryonline.org melaporkan, cendekiawan Islam hebat yang lahir pada tahun 865 Masihi itu menulis sebanyak 237 buku sepanjang hayatnya.

“Sebanyak 36 daripada monumental berkenaan masih ada pada hari ini. Antara tulisannya paling pupular ialah Liber Continens (Al-Hawi) yang dianggap sebagai ensiklopedia perubatan unggul.

“Beliau memberikan penjelasan untuk pelbagai penyakit mental yang melanda masyarakat semasa abad ke-10 dan buku itu turut menggariskan gejala dan definisi serta diagnosis perbezaan dan rawatan untuk pelbagai penyakit mental,” menurut portal itu.

Tidak kejar harta

Di sebalik kemasyhuran namanya itu, NLM melaporkan, Al-Razi tidak pernah mengumpul harta.

“Ini kerana beliau sering merawat pesakit miskin tanpa menuntut bayaran. Akibatnya, beliau hidup dalam kemiskinan relatif,” kata NLM.

Selepas kematian Khalifah Al-Muktafi pada tahun 907 Masihi, Al-Razi kembali ke kampung halamannya di Ray.

ILUSTRASI Al-Razi

ILUSTRASI Al-Razi

Di situlah beliau mendedikasikan sisa usianya dengan menjadi individu penting yang memikul amanah menjaga hospital di sana dan mengabdikan masanya untuk mengajar.

Suatu perkara menarik tentang Al-Razi, beliau mempunyai beberapa pelajar di sekelilingnya.

“Apabila ada pesakit datang membuat aduan atau bertanyakan soalan, semua urusan itu diserahkan kepada pelajar ‘lingkaran pertama’.

“Jika mereka tidak dapat memberikan jawapan, maka ia akan diuruskan oleh pelajar ‘lingkaran kedua’. Begitulah seterusnya, tetapi andai semua gagal memberikan respons, maka Al-Razi datang memberikan jawapan muktamad,” lapor laman web assets.cureus.com.

Beberapa tahun kemudian, Al-Razi diuji dengan penyakit katarak yang menyebabkan beliau menjadi buta.

“Apabila berdepan dengan keperluan untuk pembedahan mata, Al-Razi menolaknya lantaran pakar bedah yang belum menguasai anatomi mata,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal assets.cureus.com.

Figura hebat itu meninggal dunia pada 27 Oktober 925 Masihi pada usia 60 tahun.

Sesungguhnya, pemikiran, gagasan dan dedikasi Al-Razi menjadikannya antara tokoh paling cemerlang dalam sejarah dunia Islam meskipun jasadnya sudah dimamah bumi.

PROFIL

Nama penuh: Abu Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya Al-Razi

Gelaran: Al-Razi, Imam At-Tibb, Rhazes (gelaran diberikan oleh sarjana Barat) dan Galen of Islam

Asal: Ray, utara Iran

Tahun kelahiran: 865 Masihi

Tahun kematian: 925 Masihi

Kepakaran: Perubatan, kimia, falsafah, muzik dan psikologi

Sumbangan:

– Mendirikan wad psikiatri pertama dalam sejarah

– Pencetus rawatan mental secara klinikal dan holistik

– Tokoh awal yang membezakan penyakit campak dan cacar

Karya agung: Kitab al-Hawi (Liber Continens), Al-Mansuri, At-Tibb al-Ruhani dan Al-Asrar

*Sumber foto: Muslimheritage.com, Science4fun.info, Nournews.ir, Internationaljournalofcardiology.com, Wikimedia.org & Trowbridgegallery



Source link

OR

Scroll to Top