sukan@hmetro.com.my
Langkawi: Atlet Estonia, Siim Erik Alamaa, 33, membuktikan kehebatannya apabila menungguli takhta kategori lelaki, Ironman Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Jaguh Estonia itu melepasi garisan penamat di Pelangi Beach Resort & Spa dengan catatan masa 9 jam 8 minit dan 40 saat, sekali gus muncul juara baharu kejohanan sukan lasak terulung negara itu.
Catatan itu bagaimanapun gagal memadamkan rekod kejohanan milik orang besi Brazil, Fernado Toldi, tahun lalu, 8:10:23s.
Ketika ditemui, Alamaa berkata, kejayaan itu tidak dijangkakan selepas mula menyertai acara sukan lasak itu pada Ogos lalu, selain membuat persiapan singkat ke Ironman Malaysia hanya dalam tempoh sebulan.
“Saya rasa ianya sesuatu yang sukar dipercayai. Saya menyertai Ironman pertama pada Ogos lalu dan membuat persiapan sehingga akhir September lalu.
“Bagaimanapun, dalam tempoh itu saya berdepan beberapa cabaran termasuk hal peribadi yang menjejaskan fokus.
“Saya datang ke sini hanya untuk berikan yang terbaik, dengan sasaran menamatkan di tempat ke-10 atau ke-15 sudah memadai, tetapi muncul juara keseluruhan memang sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu Sally Porter, 33, dari Great Britain menguasai takhta kategori wanita menerusi catatan 10:38:51s, diikuti Alexandra Vano, 35, dari Perancis (11:05:59s) di tempat kedua Erin Thomson, 34, dari Great Britain (11:17:23s) ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd






