Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang hari ini selepas dilaporkan mengalami masalah sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan pada saat akhir itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan yang menasihatkan beliau supaya berehat secukupnya.
“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi.
“Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau,” katanya.

Artikel lain: Saya suka bergurau walaupun nampak garang, fokus laksana amanah – PM Anwar
PM Anwar mohon maaf terpaksa batalkan program
Anwar dijadualkan menghadiri tiga program rasmi di negeri itu bermula jam 10 pagi, termasuk merasmikan majlis penutup Hari Peniaga Kecil (HKKP) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh.

Beliau juga dijadualkan menghadiri Program Temu Anwar @ UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang, sebelum mengakhiri lawatan dengan Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan.

Semalam, Anwar baru pulang ke tanah air selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan sejak Jumaat lalu.
Sumber: FB Anwar Ibrahim





