Pelakon versatile, Nabila Huda berdepan ujian kesihatan apabila disahkan mengalami slipped disc L5 selepas kembali mengalami sakit pinggang melampau beberapa hari sebelum pementasan Teater Muzikal Masmoona berlangsung.
Kata Nabila atau mesra disapa Abil menerusi perkongsiannya di Instagram, masalah sakit pinggang itu pernah dialaminya sebelum ini, namun sudah lama tidak kembali.
Bagaimanapun, dua hari lalu kesakitan itu kembali semula dengan keadaan lebih serius sehingga menyukarkannya untuk berdiri.
Cemas dengan situasi tersebut, Abil mengambil keputusan menjalani pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging) sebelum menghadiri sesi latihan.
“Konon nak sedapkan hati je lah. Nahhh amik kau.. Diagnosed with a slipped disc L5! Settled babe penutup 2025 dia kasi baik punya,” katanya.
Mengakui jadual kerja yang padat, Abil tidak menafikan faktor terlalu kuat bekerja menjadi penyumbang kepada masalah tersebut.
Namun, dia tetap reda kerana minat yang mendalam terhadap karier seninya.
“I know I’ve been working way too much in life, but what to do… I love my job kan?
“Doktor tanya nak MC atau tidak, kami terus gelak sebab kerja kami ni memang tak ada MC dalam kamus. Show dah dekat, tiket pun dah terjual,” selorohnya.
Tidak habis disitu, Abil memohon agar diberi peluang menyelesaikan empat persembahan terlebih dahulu dengan bantuan ubat tahan sakit yang sesuai, sebelum berjanji akan menjalani rawatan fisioterapi selepas tamat pementasan.
“Lepas habis show, saya janji akan fokus rawatan. Buat masa ini, show must go on,” tegasnya.





