firdaushashim@hmetro.com.my
Langkawi: Kejohanan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 terus menerima suntikan semangat apabila bekas pemain import Kedah, Robert Albers mengesahkan kehadirannya bersama tiga lagi tonggak import yang pernah mencipta sejarah bersama skuad Hijau Kuning pada musim 1993.
Kehadiran mereka pastinya menjadi tarikan utama buat peminat bola sepak tanah air yang pernah menyaksikan kegemilangan Kedah pada era 1990-an.
Selepas lebih tiga dekad, para legenda ini bakal kembali bertemu penyokong dalam suasana penuh nostalgia di Stadium LADA, Langkawi pada 29 Ogos 2026.
Pengerusi penganjur, Datuk Zuraidi Rahim, berkata pengesahan kehadiran Albers bersama rakan-rakan sepasukannya adalah satu berita yang amat menggembirakan buat seluruh peminat bola sepak, khususnya penyokong Kedah.
“Ramai penyokong membesar dengan menyaksikan aksi mereka. Kehadiran semula legenda-legenda ini bukan sekadar mengimbau kenangan, malah menjadi penghargaan kepada generasi pemain yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia,” katanya.
Menurutnya, penganjuran Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 bukan sekadar sebuah perlawanan persahabatan, tetapi menjadi platform menghimpunkan semula pemain-pemain legenda dari Malaysia dan Singapura yang pernah mencipta sejarah di rantau ini.
Selain aksi di atas padang, penyokong juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan bekas bintang kesayangan mereka menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program.
Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 dijangka menjadi antara acara bola sepak nostalgia terbesar tahun ini, menghimpunkan legenda yang pernah mengharumkan nama kelab dan negara.
Penganjur optimis sambutan hangat daripada penyokong tempatan serta peminat dari Singapura akan menjadikan kejohanan ini sebagai satu acara bersejarah yang mengukuhkan hubungan persahabatan melalui sukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






