September 8, 2024

Albertine Leo Jia Hui sudah dibawa pulang ke Johor

Albertine Leo Jia Hui sudah dibawa pulang ke Johor


GOMBAK – Kanak-kanak perempuan Albertine Leo Jia Hui yang ditemui dalam keadaan selamat di Batang Kali, Hulu Selangor selepas disyaki diculik dan dilarikan dari Johor difahamkan telah dibenarkan keluar dari Hospital Selayang hari ini.

Sumber memberitahu, hospital terbabit menerima pesakit berusia enam tahun itu untuk rawatan pagi tadi.

Difahamkan, kanak-kanak itu dibenarkan pulang antara pukul 1 hingga 2 petang tadi untuk dibawa pulang ke Johor.

Kepulangan kanak-kanak tersebut diiringi polis.

“Mangsa tiba di hospital pagi tadi dan antara jam 1 hingga 2 petang tadi pesakit itu sudah dibenarkan pulang,” kata sumber tersebut.

Sebelum ini, Albertine Leo telah dilaporkan hilang sekitar jam 8.30 malam Sabtu minggu lepas ketika berada di Pusat Perniagaan Eco Galleria di Iskandar Puteri bersama ibunya yang berniaga ketika kejadian berlaku.

Polis yang menerima laporan daripada ibu mangsa telah mempergiatkan usaha mencari dan menjejaki mangsa, selain membuat hebahan kepada orang ramai bagi membantu mengesannya.

Semalam, Polis Johor mengesahkan melakukan tangkapan empat individu, dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Albertine Leo.

Keempat-empat suspek berusia antara 28 hingga 55 tahun itu telah direman empat hari sementara suspek kelima pula direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga denda jika disabitkan kesalahan.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top