Jerez de la Frontera: Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez, mencuri tumpuan apabila muncul terpantas dalam sesi latihan MotoGP Sepanyol di Jerez.
Adik kepada juara dunia, Marc Marquez itu mencatat masa 1 minit 35.704 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat Fabio Di Giannantonio dengan kelebihan 0.333s.
Pendahulu kejuaraan, Marco Bezzecchi dari Aprilia, menamatkan sesi di tempat ketiga diikuti Marc di kedudukan keempat.
Alex, yang memenangi perlumbaan MotoGP pertamanya di Jerez musim lalu, sekali lagi membuktikan kemampuannya di litar Andalucia walaupun memulakan musim dengan kurang konsisten.
Catatan masanya hanya kurang 0.1s daripada rekod sepanjang zaman di litar itu.
Dalam sesi sama, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin tetap berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik untuk mara terus ke sesi kelayakan kedua (Q2) walaupun masing-masing terjatuh.
Bagnaia tergelincir di selekoh pertama pada pusingan awal, manakala Martin terjatuh di selekoh terakhir ketika sesi berlangsung.
Sementara itu, pelumba muda sensasi Pedro Acosta yang kini ketiga keseluruhan, terpaksa melalui sesi kelayakan pertama (Q1) buat kali pertama musim ini selepas sekadar menduduki tempat ke-15 bersama jentera KTM.
Rakan sepasukannya, Brad Binder, turut senasib apabila menamatkan sesi di kedudukan ke-16.
© New Straits Times Press (M) Bhd






